Saintis Menulis
Oleh Ramli Abdul Samad
Universiti Sains Malaysia
Oleh Ramli Abdul Samad
Universiti Sains Malaysia
DALAM buku cerita atau filem fiksyen sains, manusia sering digambarkan pernah mendarat di planet Marikh, walaupun sebenarnya ia hanyalah khayalan penulis atau pengarah filem tersebut.
Manusia sememangnya pernah menjelajah bulan kira-kira tiga dekad yang
lalu. Bagaimanapun, sejak itu manusia belum lagi mengirim seorang
manusia melepasi orbit rendah bumi (Low Earth Orbit), satu ketinggian
antara 320-800 kilometer dari bumi.
Bagaimanapun keghairahan manusia ke planet Marikh tetap kuat dengan
pelbagai alasan bagi pengembaraan dari bumi yang akan mengambil
kira-kira enam bulan. Jarak bumi dengan Marikh adalah sekitar 500 juta
kilometer.
Wahana (pesawat angkasa) Beagle 2 milik Eropean Space Agency
dilaporkan telah mendarat di planet Marikh pada Hari Natal lalu tetapi
malangnya masih gagal mengirim sebarang isyarat sehingga kini.
Selang 10 hari pula pada 3 Januari 2004, NASA berjaya mendaratkan
wahana robot perayau bernama Spirit seberat 174 kilogram tepat 8.25
petang waktu Pasifik.
Spirit akan mengembara sejauh 90 meter sehari selama tidak kurang 30
hari. Kembar kepada Spirit bernama Opportunity akan mendarat di
Meridiani Planum, satu kedudukan bertentangan dengan tempat pendaratan
Spirit pada 24 Januari ini.
Pembangunan kedua-dua robot itu menelan belanja sekitar AS$800 juta
yang bertujuan mengesan pada dua kawasan yang berbeza sama ada pernahkah
Marikh pada satu masa dulu mempunyai kehidupan.
Sebelum ini, wahana Viking Lander milik Amerika Syarikat (AS) telah
mendarat ke atas permukaan Marikh pada 20 Julai, 1976 tetapi tidak
menemui tanda-tanda konkrit akan adanya kehidupan di Marikh.
Pada tahun 1997 pula, satu lagi wahana Mars Pathfinder mendarat di
planet merah itu dan berjaya membawa balik 2.6 bilion bit maklumat,
tetapi masih tidak juga menemui tanda-tanda yang boleh meyakinkan adanya
kehidupan.
Harus dimaklumkan juga ada misi atau projek ke Marikh yang tidak
berjaya seperti yang dialami oleh wahana Mars Observer, Mars Climate,
Deep Space 2, Mars Polar Lander dan beberapa misi yang dikendalikan oleh
pihak Soviet Rusia.
Saintis merasakan wahana-wahana itu yang bergantung kepada prestasi
robot tidak dapat menjawab persoalan bahawa Marikh mempunyai bekas
sebuah kehidupan. Di sana dikatakan mempunyai bekas lembah banjir yang
pernah dipenuhi air dan air dari kaca mata sains merupakan salah satu
asas penting yang boleh menyumbang kepada sebuah kehidupan.
Penjelajahan oleh robot pastinya tidak sama dengan mutu penjelajahan
yang dibuat oleh manusia. Maka itu cadangan untuk mengirim manusia ke
Marikh satu hari nanti tetap akan dilaksanakan.
Tetapi sebelum itu ada hambatan berat yang harus terlebih dulu
diatasi untuk mengirim manusia ke sana agar angkasawan tersebut boleh
pergi dan balik dengan selamat.
Sebenarnya apakah ciri-ciri fizikal di planet itu? Purata suhu
permukaannya adalah sekitar -55 darjah Celsius sementara tekanan
atmosferanya adalah 6.35 atau 0.6% daripada bumi. Udaranya penuh dengan
karbon dioksida ( 95.3%) dan keadaan atmosferanya sentiasa berubah
secara mendadak dan menimbulkan gelombang debu yang membahayakan.
Tiada gas oksigen di Marikh. Persamaan yang nyata ialah usianya agak
sama dengan bumi, sudah 4.5 bilion tahun dan setahun kalendarnya pula
adalah lebih atau hampir dua kali ganda dengan bumi. Bumi mengambil 365
hari sedangkan Marikh mengambil tempoh 687 hari untuk membuat satu
pusingan mengelilingi matahari.
Pendeknya suasana di Marikh tidak begitu mesra bagi manusia. Walaupun
berdasarkan hakikat ini, manusia tetap juga berminat untuk ke Marikh
kerana planet itu juga mempunyai potensi dalam bidang geologi dan
biologi.
Marikh mempunyai nilai strategik terpendam yang harus
dieksploitasikan. Tarikan gravitinya adalah 38% daripada yang ada di
bumi. Kadar tarikan graviti ini membolehkan manusia membuat pengembaraan
yang memadai di sana, tidak keterlaluan untuk mudah bergerak.
Katakanlah manusia berjaya mendarat di Marikh, kita cuma perlu selang
16 minit sahaja untuk terus berkomunikasi dengan warga di bumi.
Bukanlah satu masalah besar untuk sampai di sana, malahan manusia
telah mengirim wahana lain yang berjaya meninggalkan tatasuria kita,
satu jarak yang lebih jauh dari bumi ke Marikh.
Bagaimana dengan perjalanan dari bumi ke sana? Apakah ada bahayanya?
Masalah radiasi yang akan menyapa manusia sepanjang 6 atau 7 bulan
perjalanan satu hala ke Marikh. Radiasi dalam bentuk ions berat yang
bersumber daripada bintang-bintang dari berbilion galaksi di alam
semesta akan menembusi angkasawan dalam roket setiap masa sepanjang
perjalanan ke Marikh.
Radiasi itu khasnya yang bertenaga tinggi dan berbisa akan menembusi
setiap sel dalam anggota angkasawan. Radiasi yang melepasi medan
magnetik bumi (antara 3,000 hingga 16,000 km dari paras bumi) adalah
amat bahaya, tidak seperti radiasi gamma yang boleh ditahan manusia.
Bayangkan setiap neuron di otak kita dipukul oleh zarah seperti ions
atau zarah proton, apakah kesannya? Seseorang itu boleh menjadi bodoh!
Dos radiasi boleh merobekkan sistem DNA manusia lalu menyebabkan keadaan
tidak normal.
Radiasi di alam semesta yang bertubi-tubi simpang-siur dari segala penjuru berbeza dengan radiasi yang diterima oleh bumi.
Melayang ke Marikh bererti manusia itu melalui sebuah senario yang bukan dibuat serasi untuk manusia.
Pentadbir NASA, Sean O'Keefe telah mengenal pasti bahawa masalah
radiasi merupakan tiga masalah besar yang harus diselesaikan sebelum
misi manusia ke Marikh boleh dipertimbangkan atau direalisasikan.
Manusia tidak mempunyai masalah berupaya bertahan selama 6 atau 7
bulan dalam jet menuju ke planet merah itu. Beberapa angkasawan telah
berjaya menginap dalam suasana hampir tiada graviti bagi tempoh 6 bulan.
Beberapa angkasawan Rusia khususnya telah menginap beberapa bulan di
Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station).
Manusia boleh membiasakan dengan keadaan di angkasa lepas di stesen
itu selama berbulan-bulan dan tetap dalam keadaan utuh, bagaimanapun
kadar radiasi yang diterima masih rendah di sana.
Manusia di bumi menerima radiasi daripada alam semesta, tetapi bumi
mempunyai medan magnetik, lapisan ozon dan atmosfera yang dapat
mengurangkan bahaya bisa radiasi itu.
Mengikut saintis, angkasawan yang telah ke bulan menaiki pesawat
Apollo 14 dulu dalam tempoh 9 hari misi mengumpul sebanyak 1,140
millirem, yakni kuantum radiasi bersamaan dengan tiga tahun jika
seseorang itu berada di bumi.
Millirem adalah ukuran kuantum radiasi yang diterima manusia.
Dianggarkan oleh saintis NASA di Brookhaven National Laboratory satu
perjalanan penuh ke Marikh, seseorang angkasawan itu akan menerima
dedahan sebanyak 130,000 millirem selama dua setengah tahun.
Ini bagaikan dia menerima radiasi selama 400 tahun pada kadar dedahan
biasa di bumi. Radiasi kosmik yang bertenaga tinggi dan tidak dapat
dilihat daripada alam semesta itu merupakan hambatan besar bagi projek
pengembaraan manusia ke Marikh. Namun kesannya tetap diambil berat.
Keduanya kos untuk ke sana. Dianggarkan untuk menjayakan sebuah
projek menghantar manusia ke Marikh bagi tempoh 10 hingga 15 tahun
memerlukan perbelanjaan sekitar AS$40 hingga AS$80 bilion! Ini satu
perbelanjaan yang amat besar. Kos sebanyak itu agak tinggi dan mungkin
tidak berbaloi jika hanya untuk memastikan yang terdapat bekas kehidupan
di planet tersebut.
Bagaimanapun wang sebanyak itu boleh dilabur untuk pembangunan
beribu-ribu pakar yang terlibat seperti saintis, jurutera, ahli
matematik, doktor, staf sokongan dan mereka yang terlibat dalam
pembinaan roket, komputer, pereka bentuk dan latihan untuk para
angkasawan dan banyak lagi yang terlibat dalam program misi ke Marikh.
Tetapi kejayaan membawa manusia ke jiran kita itu akan menjadi satu
sejarah yang tiada tolok bandingnya. Manusia bukan sahaja akan menjadi
penghuni pertama di sana dan akan berusaha mengolah logam dan menjanakan
oksigen dan bahan bakar daripada atmosferanya.
Jika Marikh mempunyai bekalan air yang boleh mendukung kehidupan,
lantas memberi kemungkinan manusia boleh menginap di sana seperti di
bumi.