Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

16 September 2014

Panduan Asas Penulisan Kertas Kerja Perniagaan

Dalam menghasilkan sesuatu kertas kerja dan pelan perniagaan, teknik penulisan merupakan perkara utama yang harus diberikan penekanan. Hal ini adalah kerana segala gaya bahasa dan kaedah pembentangan merupakan refleksi kepada si penulis dan memberikan persepsi terhadap si pembaca. Anda harus tahu teknik-teknik untuk memberikan impak psikologi dalam menghasilkan segala dokumentasi tersebut.

Panduan utama yang perlu anda titik-beratkan adalah;

i. Penjelasan Objektif

Tujuan penyediaan kertas kerja haruslah jelas objektifnya. Pastikan anda tahu hala  tuju  dan  sasaran  perniagaan yang dibangunkan. Apa-apa jua kerja dan rancangan yang dibuat selalunya mempunyai objektif yang tersendiri. Andai kata kertas kerja itu dibuat untuk mendapatkan pinjaman perniagaan, maka objektifnya adalah untuk membentangkan konsep perniagaan dan implikasi kewangan.

Jika kertas kerja tersebut dibuat untuk cadangan premis perniagaan di sesuatu lokasi, maka objektifnya adalah untuk menjelaskan perniagaan yang bakal dibangunkan mampu memberikan impak positif kepada pihak lain.

ii. Keutamaan Komunikasi

Jika anda mempunyai idea yang bernas dan mampu menyampaikannya secara jelas dan efektif, pembaca pasti akan tertarik oleh perkara yang disampaikan. Tetapi jika lebih banyak maklumat disampaikan dengan teknik komunikasi yang lemah seperti tiada penerangan lanjutan berkenaan sasaran perniagaan, ataupun tiada menyatakan kepentingan pihak pembaca, maka dengan pastinya kertas kerja itu tidak menghasilkan apa-apa keputusan positif.

iii. Kesalahan Tatabahasa

Jelas sekali di sini dinyatakan penggunaan tatabahasa memainkan peranan penting dalam mengolah sesuatu penyampaian ayat. Anda haruslah memastikan susunan perkataan dalam ayat diatur dengan menggunakan teknik frasa dan tatabahasa yang betul. Kebiasaannya, kebanyakan antara kita tidak peka akan perkara ini. Sebagai contoh, penggunaan ‘di’ dan ‘ke’ selalu menimbulkan kekeliruan. 

iv. Penggunaan Ayat

Kebanyakan industri hari ini menggunakan pelbagai bahasa baru yang sering kali jarang diketahui umum. Terdapat perkataan, terma dan ekspresi yang menjadi ayat kebiasaan pada sesetengah industri tetapi janggal kepada pembaca daripada industri yang lain. Elakkan penggunaan ayat ringkasan (jargon) dan jika perlu meng-gunakannya pastikan anda menerangkan maksud di sebaliknya. Sebagai contoh, ekspresi seperti ‘E-Katalog’ berkemungkinan tidak difahami oleh sesetengah pihak.

Harus diingatkan bahawa kertas kerja anda dinilai oleh pelbagai pihak yang membacanya. Justeru, pastikan mereka memahami perkara yang ingin anda sampaikan.

v. Menulis Berdasarkan Bacaan Umum

Perkembangan teknologi dan kemunculan perkataan-perkataan baru kadangkala tidak sampai kepada pengetahuan semua pihak. Kertas kerja dan pelan per-niagaan anda berkemungkinan disemak atau dinilai oleh pelbagai lapisan pembaca. Oleh hal yang demikian, segala penerangan dan informasi yang terkandung dalam kertas kerja haruslah mampu difahami oleh bacaan umum.

Elakkan penggunaan bahasa selanga (slang), bahasa pasar dan bahasa setempat. Walaupun kertas kerja anda diserahkan kepada pihak tempatan, namun berkemungkinan kertas kerja tersebut akan diserahkan kepada pihak luar untuk penilaian lanjutan. Mereka tidak memahami penggunaan bahasa tersebut jika digunakan.

vi. Elemen Paparan/Grafik

Persembahan sesuatu kertas kerja yang baik adalah dengan menggunakan teknik paparan serta grafik yang bersesuaian serta menarik perhatian pembaca. Masukkan elemen visual tersebut secara teratur. Logo, graf, carta, jadual dan elemen visual lain meningkatkan gaya pembentangan kertas kerja anda dan memudahkan pembaca memahaminya. Muka surat yang penuh dengan perkataan sahaja akan meletihkan mata dan menimbulkan kebosanan. Tambahan pula, kebanyakan orang lebih gemar akan dokumen yang berorientasikan visual kerana mudah untuk difahami dan proses pemahaman yang singkat tercapai. 

vii. Kaedah Pembentangan Penulisan

Kebiasaannya, kebanyakan komputer menggunakan ‘Times New Roman’ sebagai jenis perkataan amnya. Bagi yang terus menaip, pasti akan tidak menitikberatkan jenis perkataan dan saiznya. Tahukah anda mengapa terdapat pelbagai jenis perkataan disediakan dan mengapakah kadangkala jenis perkataan tersebut kelihatan seakan-akan sama?

Sebenarnya, hanya terdapat dua kategori perkataan iaitu ‘Serif’ dan ‘Sans-Serif’. Perbezaan antara kedua-dua jenis ini adalah pada bucu huruf masing-masing. Perkata-an ini berasal daripada bahasa Perancis, perkataan ‘sans’ bermaksud ‘tanpa’. Bagi memudahkan pembacaan, eloklah menggunakan perkataan jenis ‘Sans-Serif’ seperti Arial, Century Gothic dan Tahoma.

Selain jenis perkataan, pastikan juga anda meng-gunakan kaedah pembentangan yang rapi seperti penyusunan perenggan dan penjajaran tepian (alignment). Pembaca kertas kerja anda pastinya akan berasa senang untuk membaca dan hal ini juga menunjukkan imej peribadi anda yang sentiasa kemas dan tersusun. Satu kelebihan untuk anda, bukan!

viii. Tajuk dan Muka Surat yang Jelas

Pernahkah anda menerima kertas kerja orang lain untuk membuat penilaian? Bagaimanakah anda menilai sama ada kertas kerja tersebut bagus atau tidak? Sebenarnya, sesebuah kertas kerja dan pelan perniagaan yang baik dilihat melalui kaedah penyusunan tajuknya. Mengapakah saya berkata sedemikian? Hal ini adalah kerana penyusunan tajuk yang mengikut rentak pembacaan untuk dianalisis memainkan peranan penting bagi membolehkan kertas kerja anda diterima.

Mulakan penulisan dengan merangka isi-isi kandungan mengikut susunan tajuk kandungan utama yang terdapat dalam Bahagian 2 nanti. Pastikan tajuk-tajuk tersebut lengkap disertakan dalam kertas kerja anda. Kesemua tajuk itu merupakan tajuk utama (standard) yang diguna pakai di seluruh dunia apabila membuat sesuatu kertas kerja dan pelan perniagaan.

Penggunaan muka surat juga penting kerana memudahkan pembaca mencari isi kandungan yang dikehendaki dengan cepat tanpa perlu menyingkap helaian demi helaian. Seelok-eloknya, nombor muka surat kertas kerja atau pelan perniagaan diletakkan di penjuru kanan sebelah bawah. ‘Header’ dan ‘footer’ juga perlu dimasukkan agar kertas kerja anda nampak kemas, profesional dan menarik.

ix. Penyusunan Agenda Pembentangan

Apakah yang akan terjadi jika pembentangan agenda penulisan kertas kerja anda tidak tersusun? Sudah tentu hal ini mewujudkan ketidakseimbangan kefahaman terhadap pembaca yang menilai permohonan anda. Aliran isi kandungan yang ingin disampaikan perlu mengikut rentak objektif utama kertas kerja dan pelan perniagaan anda. Pastikan kertas kerja dan pelan perniagaan anda dimulakan dengan Pengenalan atau Ringkasan Eksekutif/Pelan diikuti isi kandungan utama dan diakhiri dengan Kesimpulan/Penutup.

Melalui kaedah ini, secara tidak langsung pembaca atau penilai dapat mengenal anda dan perkara yang anda ingin sampaikan melalui perniagaan yang anda ingin ceburi. Oleh itu, pastikan anda melengkapkan kesemua agenda utama pembentangan agar kefahaman tercapai dan objektif serta impian perniagaan anda terlaksana akhirnya.

x. Pengakhiran Kertas Kerja dan Pelan Perniagaan

Lakukan cetakan dengan menggunakan pencetak laser berwarna yang bermutu serta gunakan kertas yang agak tebal dan berkualiti. Kertas kerja dan pelan perniagaan anda harus diakhiri dengan penjilidan yang sesuai seperti ‘comb-binding’ dan pastikan muka depan dan belakang diliputi lapisan plastik sebagai pelindung dan daya tarikan. Dengan hanya sedikit kos, kini anda telah berjaya menghasilkan satu kertas kerja dan pelan perniagaan yang bakal mengubah masa depan anda ke arah pencapaian matlamat yang ingin dicapai.
 
 
Maklumat lanjut berkenaan buku ANEKA CONTOH KERTAS KERJA PERNIAGAAN ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my

11 April 2014

Membongkar misteri lohong hitam penyedut kosmos

ALAM sejagat kita terdiri daripada berbilion galaksi. Galaksi adalah gugusan bintang yang wujud bertebaran di alam semesta.

Matahari kita adalah contoh sebuah bintang. Galaksi kita yang digelar Bima Sakti mempunyai tidak kurang daripada 200 bilion bintang. 

Bayangkan pula jumlah bintang di alam semesta. Bintang mempunyai tempoh hayatnya, yakni akan mengakhiri proses peledakan nuklearnya pada terasnya, tetapi akan mati dalam tempoh waktu yang lama.

Misalnya matahari kita, menurut teori sains merupakan sebuah bintang sederhana yang dijangka akan mati dalam tempoh 4.5 bilion tahun lagi.

Bagi bintang yang berskala sepuluh hingga seratus kali ganda, malahan berjuta-juta kali ganda dari matahari digolongkan sebagai bintang besar. 

Bintang besar ini akan mati dalam satu proses yang dipanggil supernova dengan semua jirim yang membentuknya akan rebah di bawah tarikan gravitinya yang menjadi lohong hitam.

Dua abad yang lalu seorang pakar geologi Britain, John Michell percaya bahawa dari segi teori, graviti itu mungkin berdaya amat besar sehinggakan tiada satu benda termasuk cahaya yang kelajuannya 300,000 km sesaat dapat terlepas daripada tarikannya.

Sudah tentu, kewujudan daya sebesar itu memerlukan pula sebuah objek yang bukan sahaja besar tetapi amat padat.

Pada tahun 1916, idea mirip teori lohong hitam diperbaharui oleh pakar astrofizik Jerman, Karl Schwarzschild. 

Bagaimanapun istilah lohong hitam atau black hole merupakan sebuah istilah yang menarik dan telah dinamakan oleh pakar fizik John Wheeler pada tahun 60-an. 

Sejak itu, lohong hitam telah menarik imaginasi di kalangan saintis dalam bidang fizik mahupun astronomi.

Lohong hitam tidak pula bermakna lohong itu berwarna hitam. Sebab utama kenapa dipanggil sebagai lohong hitam adalah tiada cahaya dapat keluar semula apabila disedut olehnya. 

Cahaya itu hilang terus daripada alam jagad tampak (visible universe), lantas dianggap sebagai terus hitam.

Ini bermakna, lohong hitam telah lama diramalkan wujud secara teori tetapi baru-baru kini dibuktikan. 

Kewujudan lohong hitam tidak dapat dilihat walaupun melalui teropong yang tercanggih yang terdapat di muka bumi masa kini.

Ia dikaji melalui fenomena jejak cahaya yang tersedut ke dalamnya. Lohong hitam mempunyai kuasa tarikan yang amat kuat dan boleh saja menyedut apa-apa benda berhampirannya dengannya termasuk gas atau awan kosmik, malahan sebuah bintang. 

Jika cahaya tersedut, cahaya itu tidak mungkin dapat keluar semula. Semua yang ditelan oleh lohong hitam akan terus tertelan tanpa satu yang mungkin dikeluarkan semula.

Ini menunjukkan betapa hebatnya kuasa graviti pada lohong hitam. Dari satu segi, fenomena tarikan lohong hitam sama seperti fenomena tarikan bulan kepada bumi atau sebaliknya yang mana kesannya kita boleh lihat pada lautan, adanya gelombang ombak. 

Fenomena tarikan lohong hitam pada sebuah objek seperti bintang adalah lebih bergolak, lebih hebat. 

Fenomena lohong hitam bagaikan pertarungan antara gergasi dan Awang Kenit. Awang kenit itu ialah bintang dan benda-benda lain dalam alam semesta. 

Lohong hitam cuma memakan satu peratus sahaja jumlah bintang, yang lainnya ditempiaskan ke angkasa raya dalam bentuk radiasi. 

Di galaksi Bima Sakti di mana sistem suria kita berada terdapat sebuah lohong hitam berskala antara 3.2 juta hingga 4 juta kali massa matahari.

Bagaimanapun sistem suria kita berada 25,000 tahun cahaya dari pusat galaksi Bima Sakti.

Maka walaupun ia mempunyai kuasa menyedut yang amat kuat, ia terlalu jauh untuk merisaukan kita sebagai para penghuni planet Bumi. Lohong hitam di Bima Sakti berstatus tenang, tidak berapa aktif. Tetapi lohong hitam di galaksi lain seperti yang didapati adalah lebih aktif. Terdapat berbilion lohong hitam di alam jagat. 

Fenomena lohong hitam menelan objek besar seperti bintang dianggarkan terjadi sekali bagi setiap 10,000 tahun dalam sebuah galaksi yang mempunyai lohong hitam.

Fenomena lohong hitam menarik dan menyedut bintang yang meronda sesat di sekitarnya di sebuah galaksi telah dikaji oleh sebuah kumpulan pakar astronomi. 

Galaksi itu bernama RX J1242-11 dengan lokasi 700 juta tahun cahaya dari Bumi. Lohong hitam itu berada pada pusat galaksi RX J1242-11. Lohong hitam menginap di pusat sesebuah galaksi. Bintang yang menjadi mangsa itu dikatakan meronda di kawasan jiran yang tersilap. Bintang itu mati sebelum ajalnya kerana tidak melalui proses seperti supernova.

Dua cerapan angkasa telah memberi bukti bahawa sebuah lohong hitam besar telah melahap sebuah bintang sebesar matahari kita. Teropong yang diguna ialah teropong Chandra X-Ray milik NASA dan XMM-Newton milik Agensi Angkasa Eropah.

Sebelum itu, pengkaji astronomi tersebut telah meninjau semula foto-foto awal yang diambil oleh satelit Roentgen Jerman pada tahun 1990 dan 1992. 

Ketika itu sudah kelihatan pancaran sinar-X saat bintang berkenaan mulai ditarik. Lohong hitam itu mempunyai massa 100 juta kali ganda massa matahari kita. Sebelum disedut terus bintang itu menghasilkan suhu berjuta-juta darjah dan memancarkan radiasi pelbagai gelombang, daripada gelombang radio hingga ke gelombang cahaya tampak dan sinar-X.

Pengamatan yang dirakam oleh tiga teropong angkasa sinar-X selama lebih dari satu dekad menunjukkan yang sebuah bintang telah ditelan oleh lohong hitam. Dalam proses bintang itu ditelan satu tenaga bersamaan dengan tenaga yang dihasilkan oleh sebuah ledakan supernova. Lohong hitam bertindak seperti pemangsa. Ia menarik dan telan bintang kerana kuasa tarikannya yang amat kuat. 

Pancaran sinar-X berukuran sama seperti sinar-X 50,000 kali lebih terang berbanding dengan semua sumber sinar-X di sebuah galaksi. 

Kajian ini dibuat oleh pakar astronomi Stefanie Komossa dan Gunter Hasinger dari Max Planck Institute for Extraterrestrial Physics, Jerman. Kajian mereka akan dimuatkan dalam jurnal Astrophysical Journal akan datang.

Kenapa lohong hitam menjadi kajian penting bagi saintis astronomi? 

Keinginan tahu manusia yang kuat merupakan salah satu daya pendorong untuk memahami lagi misteri lohong hitam. Lohong hitam merupakan salah satu objek yang paling menggerunkan pernah wujud di alam sejagat. 

Mengikut Teori Kerelativiti Einstein, dan model-model teori semasa yang berusaha untuk meleraikan kelahiran dunia kosmos dan evolusinya, kewujudan lohong hitam itu membawa makna yang besar.

Lohong hitam akan memberi banyak maklumat dan kefahaman mengenai graviti, salah sebuah daya asas di dalam kosmos. Kepastian bahawa lohong hitam wujud akan memperkasakan lagi keyakinan manusia akan teori-teori semasa mengenai evolusi kosmos, fenomena Ledakan Besar (Big Bang) dan banyak lagi fenomena yang berkaitan dengan alam semesta.

Sememangnya teori Einstein agak rumit, susah untuk digarap oleh orang biasa. Mengikut teorinya, jisim ditransformasikan menjadi tenaga pada teras bintang dan ini yang menyebabkan bintang bernyala. 

Sementara itu, jirim akan melengkokkan ruang dan masa berjalan, sama ada lebih cepat dan lambat bergantung pada gerakan relatif atau graviti. 

Teori Einstein telah bertahan selama ini dan manifestasinya jelas dibaca pada alam semesta yang dikaji dan diperhatikan. Malahan sebahagian besar teori asal usul alam semesta bersumber dari teori Einstein.

Dulunya lohong hitam merupakan satu bahan dalam rumusan matematik yang mengusik ingin tahu manusia, tetapi kini telah dikaji dan dibuktikan kehadirannya.

RAMLI ABDUL SAMAD ialah Pustakawan di Universiti Sains Malaysia.

10 Januari 2014

Mampukah manusia ke Marikh

Saintis Menulis
Oleh Ramli Abdul Samad
Universiti Sains Malaysia

DALAM buku cerita atau filem fiksyen sains, manusia sering digambarkan pernah mendarat di planet Marikh, walaupun sebenarnya ia hanyalah khayalan penulis atau pengarah filem tersebut. 

Manusia sememangnya pernah menjelajah bulan kira-kira tiga dekad yang lalu. Bagaimanapun, sejak itu manusia belum lagi mengirim seorang manusia melepasi orbit rendah bumi (Low Earth Orbit), satu ketinggian antara 320-800 kilometer dari bumi. 

Bagaimanapun keghairahan manusia ke planet Marikh tetap kuat dengan pelbagai alasan bagi pengembaraan dari bumi yang akan mengambil kira-kira enam bulan. Jarak bumi dengan Marikh adalah sekitar 500 juta kilometer. 

Wahana (pesawat angkasa) Beagle 2 milik Eropean Space Agency dilaporkan telah mendarat di planet Marikh pada Hari Natal lalu tetapi malangnya masih gagal mengirim sebarang isyarat sehingga kini. 

Selang 10 hari pula pada 3 Januari 2004, NASA berjaya mendaratkan wahana robot perayau bernama Spirit seberat 174 kilogram tepat 8.25 petang waktu Pasifik.

Spirit akan mengembara sejauh 90 meter sehari selama tidak kurang 30 hari. Kembar kepada Spirit bernama Opportunity akan mendarat di Meridiani Planum, satu kedudukan bertentangan dengan tempat pendaratan Spirit pada 24 Januari ini.

Pembangunan kedua-dua robot itu menelan belanja sekitar AS$800 juta yang bertujuan mengesan pada dua kawasan yang berbeza sama ada pernahkah Marikh pada satu masa dulu mempunyai kehidupan. 

Sebelum ini, wahana Viking Lander milik Amerika Syarikat (AS) telah mendarat ke atas permukaan Marikh pada 20 Julai, 1976 tetapi tidak menemui tanda-tanda konkrit akan adanya kehidupan di Marikh. 

Pada tahun 1997 pula, satu lagi wahana Mars Pathfinder mendarat di planet merah itu dan berjaya membawa balik 2.6 bilion bit maklumat, tetapi masih tidak juga menemui tanda-tanda yang boleh meyakinkan adanya kehidupan. 

Harus dimaklumkan juga ada misi atau projek ke Marikh yang tidak berjaya seperti yang dialami oleh wahana Mars Observer, Mars Climate, Deep Space 2, Mars Polar Lander dan beberapa misi yang dikendalikan oleh pihak Soviet Rusia.

Saintis merasakan wahana-wahana itu yang bergantung kepada prestasi robot tidak dapat menjawab persoalan bahawa Marikh mempunyai bekas sebuah kehidupan. Di sana dikatakan mempunyai bekas lembah banjir yang pernah dipenuhi air dan air dari kaca mata sains merupakan salah satu asas penting yang boleh menyumbang kepada sebuah kehidupan.

Penjelajahan oleh robot pastinya tidak sama dengan mutu penjelajahan yang dibuat oleh manusia. Maka itu cadangan untuk mengirim manusia ke Marikh satu hari nanti tetap akan dilaksanakan.
Tetapi sebelum itu ada hambatan berat yang harus terlebih dulu diatasi untuk mengirim manusia ke sana agar angkasawan tersebut boleh pergi dan balik dengan selamat.

Sebenarnya apakah ciri-ciri fizikal di planet itu? Purata suhu permukaannya adalah sekitar -55 darjah Celsius sementara tekanan atmosferanya adalah 6.35 atau 0.6% daripada bumi. Udaranya penuh dengan karbon dioksida ( 95.3%) dan keadaan atmosferanya sentiasa berubah secara mendadak dan menimbulkan gelombang debu yang membahayakan. 

Tiada gas oksigen di Marikh. Persamaan yang nyata ialah usianya agak sama dengan bumi, sudah 4.5 bilion tahun dan setahun kalendarnya pula adalah lebih atau hampir dua kali ganda dengan bumi. Bumi mengambil 365 hari sedangkan Marikh mengambil tempoh 687 hari untuk membuat satu pusingan mengelilingi matahari. 

Pendeknya suasana di Marikh tidak begitu mesra bagi manusia. Walaupun berdasarkan hakikat ini, manusia tetap juga berminat untuk ke Marikh kerana planet itu juga mempunyai potensi dalam bidang geologi dan biologi. 

Marikh mempunyai nilai strategik terpendam yang harus dieksploitasikan. Tarikan gravitinya adalah 38% daripada yang ada di bumi. Kadar tarikan graviti ini membolehkan manusia membuat pengembaraan yang memadai di sana, tidak keterlaluan untuk mudah bergerak. 

Katakanlah manusia berjaya mendarat di Marikh, kita cuma perlu selang 16 minit sahaja untuk terus berkomunikasi dengan warga di bumi.

Bukanlah satu masalah besar untuk sampai di sana, malahan manusia telah mengirim wahana lain yang berjaya meninggalkan tatasuria kita, satu jarak yang lebih jauh dari bumi ke Marikh. 

Bagaimana dengan perjalanan dari bumi ke sana? Apakah ada bahayanya? Masalah radiasi yang akan menyapa manusia sepanjang 6 atau 7 bulan perjalanan satu hala ke Marikh. Radiasi dalam bentuk ions berat yang bersumber daripada bintang-bintang dari berbilion galaksi di alam semesta akan menembusi angkasawan dalam roket setiap masa sepanjang perjalanan ke Marikh.

Radiasi itu khasnya yang bertenaga tinggi dan berbisa akan menembusi setiap sel dalam anggota angkasawan. Radiasi yang melepasi medan magnetik bumi (antara 3,000 hingga 16,000 km dari paras bumi) adalah amat bahaya, tidak seperti radiasi gamma yang boleh ditahan manusia.

Bayangkan setiap neuron di otak kita dipukul oleh zarah seperti ions atau zarah proton, apakah kesannya? Seseorang itu boleh menjadi bodoh! Dos radiasi boleh merobekkan sistem DNA manusia lalu menyebabkan keadaan tidak normal. 

Radiasi di alam semesta yang bertubi-tubi simpang-siur dari segala penjuru berbeza dengan radiasi yang diterima oleh bumi.



Melayang ke Marikh bererti manusia itu melalui sebuah senario yang bukan dibuat serasi untuk manusia. 

Pentadbir NASA, Sean O'Keefe telah mengenal pasti bahawa masalah radiasi merupakan tiga masalah besar yang harus diselesaikan sebelum misi manusia ke Marikh boleh dipertimbangkan atau direalisasikan.

Manusia tidak mempunyai masalah berupaya bertahan selama 6 atau 7 bulan dalam jet menuju ke planet merah itu. Beberapa angkasawan telah berjaya menginap dalam suasana hampir tiada graviti bagi tempoh 6 bulan. Beberapa angkasawan Rusia khususnya telah menginap beberapa bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station). 

Manusia boleh membiasakan dengan keadaan di angkasa lepas di stesen itu selama berbulan-bulan dan tetap dalam keadaan utuh, bagaimanapun kadar radiasi yang diterima masih rendah di sana.
Manusia di bumi menerima radiasi daripada alam semesta, tetapi bumi mempunyai medan magnetik, lapisan ozon dan atmosfera yang dapat mengurangkan bahaya bisa radiasi itu. 

Mengikut saintis, angkasawan yang telah ke bulan menaiki pesawat Apollo 14 dulu dalam tempoh 9 hari misi mengumpul sebanyak 1,140 millirem, yakni kuantum radiasi bersamaan dengan tiga tahun jika seseorang itu berada di bumi.

Millirem adalah ukuran kuantum radiasi yang diterima manusia. Dianggarkan oleh saintis NASA di Brookhaven National Laboratory satu perjalanan penuh ke Marikh, seseorang angkasawan itu akan menerima dedahan sebanyak 130,000 millirem selama dua setengah tahun. 

Ini bagaikan dia menerima radiasi selama 400 tahun pada kadar dedahan biasa di bumi. Radiasi kosmik yang bertenaga tinggi dan tidak dapat dilihat daripada alam semesta itu merupakan hambatan besar bagi projek pengembaraan manusia ke Marikh. Namun kesannya tetap diambil berat.

Keduanya kos untuk ke sana. Dianggarkan untuk menjayakan sebuah projek menghantar manusia ke Marikh bagi tempoh 10 hingga 15 tahun memerlukan perbelanjaan sekitar AS$40 hingga AS$80 bilion! Ini satu perbelanjaan yang amat besar. Kos sebanyak itu agak tinggi dan mungkin tidak berbaloi jika hanya untuk memastikan yang terdapat bekas kehidupan di planet tersebut.

Bagaimanapun wang sebanyak itu boleh dilabur untuk pembangunan beribu-ribu pakar yang terlibat seperti saintis, jurutera, ahli matematik, doktor, staf sokongan dan mereka yang terlibat dalam pembinaan roket, komputer, pereka bentuk dan latihan untuk para angkasawan dan banyak lagi yang terlibat dalam program misi ke Marikh. 

Tetapi kejayaan membawa manusia ke jiran kita itu akan menjadi satu sejarah yang tiada tolok bandingnya. Manusia bukan sahaja akan menjadi penghuni pertama di sana dan akan berusaha mengolah logam dan menjanakan oksigen dan bahan bakar daripada atmosferanya.

Jika Marikh mempunyai bekalan air yang boleh mendukung kehidupan, lantas memberi kemungkinan manusia boleh menginap di sana seperti di bumi.

Sumber : Utusan Malaysia
(10 Januari 2004)