Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

28 November 2007

Hussein Abu Hassan dikagumi peminat, disegani rakan

Oleh: ABD. AZIZ ITAR (WARTAWAN UTUSAN) (27 November 2007)

PEMERGIAN pelakon veteran, Hussein Abu Hassan, 70, yang kembali ke rahmatullah pada pukul 5.30 pagi di Hospital Kuala Lumpur semalam kerana masalah paru-paru berair meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap dunia lakonan tempatan.

Allahyarham yang dilahirkan pada 8 Mei 1937 di Tanjung Limau, Alor Gajah, Melaka bukan sahaja dikenali sebagai seorang pelakon yang hebat di layar perak dan televisyen (TV), tetapi beliau juga amat disegani di kalangan rakan taulannya.

Pelakon seangkatan beliau, Tan Sri Jins Shamsudin, 70, misalnya, menyifatkan Hussein sebagai seorang yang berbakat besar dalam bidang lakonan.

“Saya anggap pemergian beliau ke rahmatullah sebagai suatu kehilangan yang cukup besar kepada persada seni kita. Ini kerana, Allahyarham bukan sahaja boleh berlakon tetapi beliau juga seorang pengarah dan penulis skrip yang hebat.

“Walaupun uzur di penghujung hayatnya, tetapi saya kagum apabila beliau sedaya upaya hadir pada majlis-majlis yang dianjurkan untuk warga seni tempatan. Biarpun bertongkat, tetapi beliau kuat semangat dan tetap akan hadir,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Gombak Setia, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Jins yang kini merupakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), menganggap Allahyarham sebagai kawan rapatnya dan pernah tinggal serumah dengannya pada tahun 1960-an.

“Semasa masih bujang, saya dan Allahyarham pernah menyewa rumah di Klang Gate, Selangor selama beberapa tahun. Ketika itu, kami sama-sama berlakon filem-filem terbitan Studio Merdeka, di Hulu Klang, Selangor.

“Kebetulan ketika tinggal serumah, kami bersama-sama berlakon dalam filem Amok Tok Nading yang diarahkan oleh S. Kadarisman pada tahun 1968. Saya anggap gandingan saya bersama Allahyarham dalam filem itu sebagai suatu kombinasi yang cukup mantap.

“Kami bukan sahaja tinggal serumah, tetapi kami juga berlatih bersilat bersama-sama untuk menjayakan filem itu,” ujarnya yang juga pernah berlakon bersama Hussein menerusi filem Bukit Kepong pada tahun 1981.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, pelakon Mahyon Ismail, 66, dan tiga orang anak iaitu Fadila, 43, Fairuz, 41, dan Faizal, 40, serta empat orang cucu. Lakonan Hussein paling berkesan ialah sewaktu melakonkan watak-watak jahat menerusi filem seperti Lanang Sejagat dan Laksamana Do Re Mi.

Selain berlakon, Allahyarham juga pernah mengarah banyak filem hebat antaranya berjudul Panglima Badul, Senja Merah, Gila-Gila Remaja, Pendekar Dari Tanjung Rimau, Dendam Perawan Bunting dan Kanta Serigala.

Allahyarham juga aktif menerbitkan filem dan drama menerusi syarikat produksinya, Baiduri Film pada pertengahan tahun 1970-an sehinggalah awal 1980-an.

Contohnya filem berjudul Bunga Padi Berdaun Lalang yang merupakan antara filem Melayu terawal yang diterbitkan dalam warna.

Pelakon terkenal Rosyam Nor, 40, yang merupakan anak saudara Hussein pula tidak melupakan jasa Allahyarham yang telah bertanggungjawab memperkenalkan namanya sebagai pelakon filem.

“Saya pertama kali berlakon menerusi filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1984 yang diarahkan oleh Allahyarham. Bermula daripada filem itu, saya mula serius dan dikenali sebagai pelakon sehinggalah ke hari ini.

“Sebab itulah, saya tidak akan melupakan jasa Allahyarham yang telah mengangkat saya daripada seorang anak setinggan yang tinggal di Pantai Dalam, Kuala Lumpur suatu ketika dulu sehinggalah kini menjadi pelakon yang dikenali ramai,” katanya.

Sungguhpun begitu, Rosyam sedikit terkilan apabila Allahyarham tidak sempat berlakon dalam filem ataupun drama terbitan syarikatnya, Suhan Movies Production yang dirancang diadakan pada tahun depan.

Jelasnya, beliau merancang menyediakan watak yang sesuai untuk dilakonkan oleh Allahyarham sebagai penghargaan dan membalas jasa pelakon veteran itu.

“Tetapi sayangnya, hajat saya itu tidak kesampaian apabila saya menerima berita yang mengejutkan ini. Apa pun saya tetap akan kenang jasa Allahyarham sepanjang hayat saya sebagai anak seni,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi anak saudara Allahyarham, penyanyi Khadijah Ibrahim juga terharu kerana tidak sempat bertemu sebelum bapa saudaranya itu menghembuskan nafas terakhir.

“Saya sepatutnya berjumpa Allahyarham pada pukul 11.45 pagi ini kerana mahu menunjukkan gambar-gambar kami yang diambil pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Kami bergambar bersama kira-kira 50 anggota keluarga yang lain tetapi hajat itu tidak kesampaian,” katanya dalam nada sedih.

Sebelum memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan, Allahyarham yang juga penghidap sakit buah pinggang dan sakit jantung pernah berkhidmat sebagai anggota polis selama kira-kira lima tahun pada tahun 1950-an.

Malah, sebelum bergelar anak seni, Allahyarham juga merupakan seorang peninju dan pernah menjadi Juara Tinju Flyweight (bawah 21 tahun) di Singapura pada tahun 1953.

Selama bergiat sebagai pelakon, Allahyarham telah berlakon lebih 15 buah filem selain drama-drama TV yang berjaya meletakkan namanya sebagai antara pelakon veteran yang sukar dicari ganti.

Antara filem-filem hebat lakonan Allahyarham berjudul Nasib Do Re Mi bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Bujang Selamat, Manis-Manis Sayang, Kembar Siam, Boss, Bus Driver, Wu Gong Zhou, Fajar Menyingsing dan Panglima Badul.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur selepas solat Asar, semalam.

Tiada ulasan: