Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

30 Mac 2007

Adab Makan Di Majlis Rasmi: Penggunaan Pisau, Garpu dan Sudu Bhg 2

Kenali jenis-jenis makanan yang boleh dimakan menggunakan utensil yang sesuai atau dengan tangan :

1. Sup - harus menggunakan sudu yang disediakan bagi sup. Sudu tersebut agak dalam dan bulat bentuknya. Sup mesti dihirup perlahan-lahan. Jangan sampai mengeluarkan bunyi kerana perbuatan tersebut tidak sopan.

2. Salad - gunakan garpu yang dikhaskan untuk salad. Garpu salad kecil sedikit berbanding garpu biasa.

3. Ikan - gunakan garpu dan pisau yang dikhaskan untuk ikan. Garpu untuk ikan selalunya pendek sedikit daripada garpu untuk daging.

4. Daging - gunakan garpu utama yang disediakan.

5. Pencuci mulut - sebagai contoh agar-agar, puding, bubur dan sebagainya. Biasanya sudu untuk pencuci mulut dibawa bersama dengan mangkuk atau piring sebelum juadah pencuci mulut dihidangkan.

6. Asparagus - asparagus boleh dimakan dengan tangan asalkan asparagus tersebut tidak disaluti apa-apa sos. Jika tidak, anda boleh menggunakan garpu yang disediakan untuk salad.

7. Bacon - apabila bacon iaitu kepingan daging nipis dibakar sehingga garing dan tidak berminyak, anda boleh menggunakan jari untuk memakannya seperti snek biasa. Hal ini kerana agak susah untuk memotong bacon yang garing menjadi kepingan kecil. Anda juga tidak mahu bacon tersebut terpelanting ke tempat lain semasa memotong!

8. Roti - roti mesti dipecahkan dengan tangan, jangan sekali-kali gunakan pisau. Koyak secebis yang sederhana besar dan makan dahulu sebelum mengoyak cebis yang seterusnya. Jika mentega disediakan, gunakan pisau untuk menyapu mentega tersebut pada cebisan roti sebelum anda memakannya. Sekiranya anda dihidangkan roti ban yang masih panas, anda dibenarkan memotong ban berkenaan memanjang di tengah dan menyapu mentega di rekahan tersebut bagi mencairkannya.

9. Biskut - biskut lazimnya dimakan dengan tangan walaupun dihias dengan buah-buahan atau tuna di atasnya.

10. Jagung - sekiranya hanya butir (kernel) jagung yang dihidangkan, anda boleh menggunakan garpu untuk memakannya tetapi jika dihidangkan secara sebiji-biji, anda dibenarkan makan dengan menggunakan tangan. Sekiranya mentega disediakan, gunakan pisau untuk menyapu pada dua baris jagung dan makan dahulu dengan bersih sebelum menyapu dua baris berikutnya.

11. Kentang goreng, ayam goreng dan burger - makanan seumpama ini dikategorikan sebagai makanan ringan dan selalunya tidak dihidang di majlis-majlis formal. Makanan ini boleh dimakan dengan tangan tetapi ayam bakar atau chicken chop hendaklah dimakan dengan menggunakan pisau dan garpu.

12. Sandwich - sandwich biasa yang dihidangkan tidak mempunyai filling yang terlalu tebal atau lembik dan boleh dimakan dengan tangan.

13. Buah-buahan kecil bertangkai - kadang-kadang pada juadah pencuci mulut, dihidangkan buah-buahan kecil seperti ceri, beri dan strawberi yang masih bertangkai. Anda boleh mengambil dan memakannya dengan tangan. Sekiranya anda tidak mahu menggunakan tangan, anda boleh menggunakan sudu tetapi berhati-hati, jangan pula buah tersebut melayang! Bagi gugusan buah anggur yang dihidangkan dengan tangkainya, anda boleh memotong sedikit bersama tangkainya dan letakkan di dalam pinggan anda. Jangan ambil buahnya sahaja kerana tangkai yang kosong di hidangan nampak kurang elok dan tidak menyelerakan bagi orang lain.


Artikel di atas dipetik daripada buku CARA MUDAH MENGUASAI KEMAHIRAN BERSOSIAL - TATACARA DIRI & ETIKET SOSIAL. Untuk lain-lain artikel kerjaya dan etiket sosial, sila lawati www.books.perintis.com.my.

Tiada ulasan: