Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

16 April 2007

Mitos imej Google Earth

Oleh AZMI HASSAN, Utusan Malaysia 10 April 2007.

INDIA, Korea Selatan, Thailand dan Australia adalah di antara negara yang begitu lantang membantah kemudahan paparan imej satelit yang disediakan oleh Google Earth. Kebimbangan yang dilahirkan oleh negara tersebut berpunca daripada betapa mudahnya seseorang itu boleh mendapatkan imej satelit untuk kawasan tertentu dengan hanya menggunakan kemudahan komputer dan Internet.

Google Earth juga mempunyai ciri-ciri pemetaan dan navigasi yang menambahkan lagi kebimbangan kemudahan tersebut boleh disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik.
New Delhi umpamanya menyuarakan bantahan dengan alasan pengganas boleh menggunakan imej satelit tersebut untuk melancarkan serangan terhadap sasaran sensitif seperti pangkalan tentera dan bangunan kerajaan.


Kegusaran yang disuarakan oleh Delhi sememangnya kena pada tempatnya kerana negara itu sedang berhadapan dengan kemelut keganasan yang lazimnya berpunca dari masalah Kashmir.
Google Earth akhirnya berkompromi dengan tekanan Delhi dengan mengaburkan kawasan tertentu yang disifatkan sebagai sensitif.


Google Earth sebenarnya tidak mempunyai pilihan kerana jika ingkar dengan kehendak Delhi, besar kemungkinan akan berhadapan dengan sekatan yang sudah tentu akan merugikan Google Earth yang bakal kehilangan pasaran pengguna di India.

Penggunaan imej satelit Google Earth oleh kumpulan pengganas bukan satu perkara baru kerana terdapat bukti yang menunjukkan Al-Qaeda di Iraq telah mempraktikkan konsep ini dalam serangan ke pangkalan tentera British di Basra.

Kumpulan ini telah menggunakan imej satelit untuk menentukan sasaran sensitif seperti khemah tempat makan dan tidur tentera British supaya ledakan mortar dan roket mencapai kemusnahan yang maksimum.

Kuala Lumpur juga diberitakan akan mengikuti langkah Delhi, Seoul, Bangkok dan Canberra dengan hajat untuk mengemukakan bantahan kepada Google Earth.

Alasan yang bakal digunakan adalah mirip seperti yang telah disuarakan oleh negara yang terbabit, iaitu paparan kawasan sensitif tidak sepatutnya boleh dicapai oleh orang awam dengan begitu mudah sekali.

Paparan imej satelit pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan umpamanya dengan jelas mempamerkan kedudukan jet pejuang di landasan. Malah dengan resolusi imej sebaik 15 meter mampu membezakan di antara jet pejuang MiG atau Hawk.

Ancaman

Kawasan sensitif seperti Kementerian Pertahanan di Jalan Semarak juga terdedah kepada ancaman kerana mereka yang mempunyai niat tidak baik dengan mudah dapat menentukan kedudukan bangunan dalam kawasan tersebut.

Begitu sukar untuk menolak hujah bahawa kemudahan yang disediakan oleh Google Earth mampu mengancam keselamatan negara kerana pengganas pada masa kini lazimnya bergerak seiring dengan kemajuan teknologi.

Malah ada yang menyarankan supaya bantahan tidak dihadkan terhadap kawasan sensitif ketenteraan sahaja tetapi dipanjangkan sehingga kawasan sensitif lain seperti Putrajaya yang menempatkan bangunan kerajaan dan kediaman pemimpin negara.

Tetapi ada juga pihak yang berpendapat bahawa bantahan yang bakal dikemukakan oleh Kuala Lumpur tidak kena pada tempatnya dan besar kemungkinan tidak diendahkan oleh Google Earth.

Bantahan Seoul umpamanya tidak diberi perhatian yang rapi oleh Google Earth kerana alasan bahawa Pyongyang boleh menggunakan imej satelit untuk menentukan kawasan sensitif Korea Selatan sukar untuk dipertahankan.

Ini adalah kerana Pyongyang atau pihak lain mempunyai banyak pilihan sumber imej satelit yang jauh lebih baik berbanding Google Earth.

Satelit IKONOS dan SPOT umpamanya mampu memberikan imej satelit yang lebih baik dalam bentuk ketepatan resolusi dan lokasi.

Bantahan Australia terhadap Google Earth juga ditarik balik kerana Canberra mengakui bahawa imej satelit yang disediakan hanya memberi ancaman paling minimum terhadap keselamatan negara tersebut.

Canberra memberi contoh imej satelit loji nuklear Lucas Heights yang dipaparkan telah diambil lebih dua tahun lepas dan jangka masa yang begitu lama ini tidak mampu mengancam keselamatan loji nuklear tersebut.

Salah satu kelemahan ketara Google Earth adalah imej satelit yang dipaparkan bukan dalam masa hakiki, yakni apa yang dilihat bukan gambaran sebenar di bumi pada ketika itu. Malah kebanyakan imej yang dipaparkan lazimnya telah diambil di antara 18 hingga 24 bulan yang lepas.

Imej sebegini sebenarnya tidak memberi apa-apa kelebihan dari segi taktikal atau logistik kepada pihak yang merancangkan operasi ketenteraan atau keganasan.

Berbeza dengan satelit pengintip, imej yang disediakan adalah dalam jangka masa hakiki kerana kegunaan utamanya adalah untuk pengintipan. Malah imej satelit IKONOS yang boleh diperoleh oleh orang awam dilambatkan sekurang-kurangnya 24 jam terutama sekali di kawasan sensitif seperti Israel, Iraq dan Afghanistan.

Kelewatan imej Google Earth sehingga 18 bulan sudah tentu tidak akan memberi apa-apa kemudaratan kepada keselamatan negara terbabit.

Walaupun imej satelit yang disediakan oleh Google Earth kelihatan begitu jelas kerana dapat membezakan jenis jet pejuang atau bangunan dengan mata kasar, tetapi resolusi imej tersebut sebesar 15 meter sebenarnya tidak memberi makna kepada keperluan ketenteraan.

Manfaat

Hanya imej satelit yang mempunyai resolusi sekurang-kurangnya 6 meter bakal memberi manfaat ketenteraan kepada mereka yang menggunakannya.

Tetapi faktor kelemahan ketepatan lokasi imej satelit Google Earth yang membuatkan imej tersebut sebenarnya tidak memberi ancaman kepada keselamatan negara walaupun pengganas yang memiliki kemudahan tersebut.

Jika koordinat dihitung menggunakan imej Google Earth, maka lokasi tersebut lazimnya akan berbeza di antara 30 hingga 100 meter berbanding dengan kedudukan sebenar di bumi. Terdapat lebih banyak kaedah selain dari imej Google Earth yang boleh digunakan oleh orang awam untuk menentukan koordinat dengan lebih mudah dan tepat.

Apa yang perlu dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara tidak kira sama ada di India atau Malaysia ialah menyesuaikan keadaan dengan kehadiran teknologi Google Earth.

Gahnya imej satelit Google Earth sebenarnya tidak seberapa dan tidak mampu mengancam keselamatan sesebuah negara. Kemampuan yang dimiliki sebenarnya telah digembar-gemburkan sehinggakan perkara yang dianggap mitos telah bertukar menjadi fakta.

* PROF. MADYA DR. AZMI HASSAN ialah Pengarah Pusat Dasar Teknologi & Kajian Antarabangsa (CENTEPIS) Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak.

Tiada ulasan: