Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

08 Mei 2007

Falak bukan ilmu telahan

Oleh: DR. ABDUL HALIM ABDUL AZIZ (Utusan Malaysia, 7 Mei 1999)


SALAH satu hasil dari sesebuah tamadun yang besar ialah sistem pengukuran tarikh yang teratur, iaitu satu sistem kalendar yang membolehkan penentuan tarikh sesuatu peristiwa yang betul.


Tamadun Islam telah menghasilkan sistem kalendar Hijriah dengan ciri-cirinya yang tersendiri. Tidak dapat dinafikan bahawa sebelum kedatangan Islam masyarakat Arab sudah pun mengamalkan satu sistem kalendarnya yang tersendiri.


Namun terdapat beberapa kelemahan pada sistem tersebut. Selepas kedatangan Islam sistem tersebut telah diperbaiki dan dijadikan lebih sistematik dan ia mencapai kemantapan semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.


Umat Arab sebelum Islam menggunakan kalendar tanpa rujukan jelas kepada sesuatu epok, iaitu waktu permulaan kiraan. Sesuatu tahun biasanya dirujuk kepada sesuatu kejadian yang menonjol pada tahun berkenaan, misalnya tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dikatakan pada tahun gajah dengan merujuk kepada serangan di Mekah oleh tentera bergajah dari Yaman (Guillaume, 1978).


Kalendar ini pada asasnya bergantung kepada perjalanan bulan, tetapi pengamalannya tidak sistematik. Terdapat amalan oleh pembikin kalendar mengubah-ubah bulan sewenang-wenangnya bagi memenuhi keperluan pihak-pihak tertentu.


Agama Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail a.s telah menetapkan bagi umat Arab empat bulan yang dilarang berperang, digelar bulan haram. Walau bagaimanapun pembuat kalendar boleh mengubah bulan-bulan kalendar bagi memenuhi kehendak mereka untuk berperang. Amalan ini telah dilarang di dalam al-Quran (at-Taubah: 37):


Mengundurkan (bulan suci itu), hanya menambah kekafiran, disesatkan dengan dia orang-orang kafir, mereka menghalalkannya dalam setahun dan mengharamkannya dalam tahun yang lain, supaya mereka bermuafakat tentang beberapa bulan yang diharamkan Allah, lalu mereka halalkan bulan yang diharamkan Allah... (terjemahan Yunus, 1957).


Perintah ini telah memastikan pengamalan kalendar yang sistematik dan bebas daripada campur tangan wewenangan manusia, dan sekali gus meletakkan satu sistem pengukuran masa yang baik dan sistematik.


Terdapat dua belas bulan di dalam sistem kalendar Islam, sebagaimana telah ditetapkan di dalam al-Quran (at-Taubah: 36):


Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah, dua belas bulan, dalam kitab Allah, pada hari Allah menjadikan langit dan bumi...


Dua belas bulan tersebut (mengikut urutan) ialah Muharram, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah, Zulhijah. Empat bulan haram yang disebutkan di atas ialah Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.


Titik permulaan pengiraan tahun telah ditetapkan sebagai tahun berlakunya penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah, iaitu di sekitar tahun 622 tahun Masihi. Penetapan epok ini telah dilakukan semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, Khalifah Islam kedua. Dengan itu kalendar Islam juga dikenali dengan gelaran kalendar Hijriah atau takwim hijriah (kerana merujuk kepada epok berlakunya hijrah).


Umumnya untuk tarikh berdasarkan kalendar Islam diletakkan huruf ''H'' pada hujung tahun berkenaan bagi membezakannya dengan tarikh Masihi, seperti 1420 H. Permulaan bulan ditentukan dengan kenampakan anak bulan yang hanya dapat dicerap selepas terbenam matahari.


Jika anak bulan ternampak, maka bulan baru bermula pada waktu tersebut, kerana permulaan hari di dalam sistem kalendar Islam ialah pada selepas ketika matahari terbenam, bukan pada tengah malam seperti yang diamalkan di dalam sistem kalendar Masihi.


Mereka bertanya kepada engkau tentang keadaan bulan. Katakanlah, bulan itu untuk menentukan waktu bagi manusia dan untuk (mengerjakan) haji...'' (al-Baqarah: 189).


Beberapa amal ibadat Islam bergantung kepada pengamalan kalendar yang betul. Tarikh-tarikh haji ditentukan berdasarkan kalendar ini. Begitu juga tarikh permulaan dan berakhir puasa yang difardukan kepada umat Islam. Pengiraan tempoh kelayakan membayar zakat juga adalah berdasarkan kalendar ini. Satu tahun Hijrah ialah lebih kurang 11 hari lebih pendek dari satu tahun Masihi. Selain itu terdapat banyak lagi amal ibadat (fardu dan sunat) yang waktunya ditentukan berdasarkan kalendar ini. Lantaran itu ilmu falak (astronomi) telah menjadi salah satu cabang ilmu yang ditetapkan sebagai fardu kifayah kepada masyarakat Islam.


Saintis Islam pada zaman lampau telah mencipta kaedah dan rumusan bagi menentukan kenampakan anak bulan. Mereka telah juga membangunkan ilmu matematik yang diperlukan untuk menentukan kedudukan matahari dan bulan dan mencipta beberapa kriteria bagi kenampakan anak bulan (Ilyas, 1995).


Perkataan almanak, iaitu buku yang mengandungi jadual kedudukan matahari, bulan, bintang dan lain-lain badan cakerawala, adalah dari bahasa Arab.


Sistem kalendar Islam adalah satu sistem kalendar lunar sepenuhnya. Ini bermaksud penentuannya hanya bergantung sepenuhnya kepada pusingan bulan yang mengelilingi bumi. Tiada hari ditambah atau ditolak untuk menyesuaikannya dengan musim.


Oleh itu dalam jangka masa yang panjang bulan-bulan dalam kalendar tersebut beranjak dari musim ke musim. Kalau pada satu ketika bulan Ramadan (bulan puasa) berada pada musim panas, satu waktu akan datang ia akan berlaku dalam musim sejuk.


Amalan ini berbeza dengan kebanyakan amalan kalendar lunar di dalam masyarakat-masyarakat lain (seperti masyarakat Cina dan India) di mana dari masa ke semasa dilakukan penyesuaian dengan menambahkan bilangan hari supaya perjalanan bulan (kalendar) itu sejajar dengan musim. Kalendar Masihi pula bergantung sepenuhnya kepada peredaran matahari, oleh itu sentiasa sejajar dengan musim.


Ilmu untuk menentukan awal bulan melalui prinsip-prinsip sains berdasarkan jangkaan kenampakan anak bulan adalah penting dengan pembinaan kalendar untuk masa hadapan dan juga untuk menjejak tarikh bagi masa silam.


Bagi penggunaan kalendar yang lebih meluas masyarakat Islam sekarang memerlukan kalendar yang dapat menentukan tarikh beberapa tahun ke hadapan supaya mereka dapat membuat perancangan yang rapi.


Oleh itu usaha penyelidikan yang telah dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia melalui Unit Ilmu Falak dan Sains Atmosfera yang dipimpin oleh Prof. Mohammad Ilyas ke arah memantapkan kriteria penentuan awal bulan adalah usaha yang penting untuk zaman ini.


Usaha ini bertujuan untuk menghilangkan ralat (atau perbezaan)- di antara hasil pencerapan sebenar dan kaedah pengiraan. Sokongan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam membina balai cerap Pusat Falak Sheikh Tahir di Pantai Acheh bagi tujuan penyelidikan di atas akan dapat membantu menjayakan usaha ini.


Terdapat sedikit salah faham di dalam masyarakat Islam tentang pemahaman istilah ilmu falak (astronomi). Ada yang tersalah tanggap bahawa ilmu falak itu sama dengan atau berkait dengan ilmu nujum (astrologi).


Sekarang tanggapan ini boleh dianggap salah kerana ilmu falak muncul sebagai satu cabang ilmu yang dibangunkan berdasarkan kaedah saintifik yang dapat diuji dan dibuktikan, padahal astrologi tidak dapat dibuktikan secara saintifik.


Kemungkinan besar pada awal-awal pembentukan ilmu falak, kedua-dua aspek (astrologi dan astronomi) bercampur aduk dan tidak dapat dipisahkan. Jika demikian tidak hairanlah mengapa terdapat beberapa ulama silam yang menolak ilmu falak.


Tetapi kini ilmu falak (astronomi) bukan lagi merupakan ilmu telahan atau teka-meneka tetapi adalah sebahagian daripada ilmu sains yang terdedah kepada proses penelitian, pengujian dan kritikan masyarakat saintifik sama seperti ilmu sains yang lain.


Dengan bantuan peralatan moden dan pengetahuan saintifik yang lebih mendalam penentuan posisi matahari dan bulan dan juga waktu ijtimak bulan-matahari kini boleh diketahui dengan tepat.


Bahkan tahap ilmu kini mencapai kehalusan sehingga manusia mampu mendarat di bulan. Oleh itu tanggapan ilmu falak sebagai ilmu yang bersifat telahan sudah tidak diterima lagi.


* DR. ABDUL HALIM ABDUL AZIZ, Pensyarah Unit Ilmu Falak dan Sains Atmosfera Universiti Sains Malaysia.

Tiada ulasan: