Oleh HASSAN AHMAD (Utusan Malaysia, 3 Mei 2007)
KITA menjadi rakyat negara ini kerana antara lain kita mempunyai kawasan atau tanah - tanah pusaka nenek moyang kita. Dengan kata lain, kita mempunyai tanah, tempat tumpah darah kita, yang di atasnya kita mempunyai hak mendirikan rumah kita, bercucuk tanam, dan sebagainya.
Inilah salah satu kriteria penting yang mentakrifkan kedaulatan sesebuah negara atau sesuatu bangsa, iaitu kebebasan atau kemerdekaannya di tanah airnya sendiri.
Kedaulatan negara dan bangsa bukanlah ‘benda’ yang abstrak, bukan konsep yang diciptakan oleh imaginasi dan perasaan cinta tanah air semata-mata, tetapi ia merupakan konsep atau entiti yang nyata, yang konkrit.
Tanpa tanah, tanpa kawasan yang kita miliki sejak zaman nenek moyang kita sebagai pusaka kita, tidak bolehlah kita dikatakan bangsa yang ‘berdaulat’.
Jikalau kita hanya menumpang atas tanah milik orang asing di tanah air sendiri disebabkan tanah kita sudah berikan kepada pelabur asing, itu bererti kita sudah kehilangan suatu hak harta, iaitu tanah, yang mentakrifkan kita sebagai ‘rakyat’ tanah melayu atau Malaysia ini.
Taraf kita samalah seperti warga asing yang ‘menumpang’ di Malaysia (misalnya sebagai pekerja asing).
Perhatikan bahawa orang Melayu menggunakan istilah tanah air. Gabungan dua kata ini, ‘tanah’ dan ‘air’ tidak terdapat dalam bahasa Inggeris atau dalam bahasa-bahasa lain.
Berdasarkan istilah ini kita dapati bahawa orang Melayu mementingkan tanah dan air bukan sahaja sebagai syarat untuk membentuk konsep ‘negeri’ tetapi juga sebagai sumber ekonomi dan sumber hidup yang asas bagi rakyat di negeri ini.
Tanpa tanah dan tanpa air, manusia sukar hidup di dunia ini. Kerana inilah sejak dahulu hingga hari ini, tanah - dan air - sering menjadi punca peperangan. Rakyat Palestin, misalnya, sanggup mati untuk mempertahankan tanah mereka, walaupun seinci, atau untuk mendapatkan semula tanah yang telah dirampas oleh Israel, sama ada melalui peperangan ataupun melalui taktik dan muslihat lain yang lebih halus.
Maka hairanlah kita sekiranya ada negara yang sanggup menjual tanah, air dan sebagainya kepada orang asing atau kepada negara asing kononnya demi kemajuan, demi pembangunan ekonomi - yang selalunya hasilnya atau kesannya tidak sampai kepada rakyat yang miskin dan terpinggir.
Barangkali bangsa Melayu patut belajar daripada sejarah, tentang bagaimana Singapura, misalnya, akhirnya jatuh ke tangan orang lain, melalui syarikat asing, iaitu Syarikat East India Company atau syarikat Hindia Timur Inggeris (SHT). Stamford Raffles bertugas sebagai wakil Syarikat ini yang ditubuhkan oleh kerajaan Inggeris untuk mencari kawasan perdagangan dan ekonomi di luar England, dan akhirnya untuk menjajah negeri orang lain.
Apabila penjajah Belanda menguasai Melaka hingga awal abad ke-19 (setelah mereka mengalahkan bangsa Portugis di situ dengan bantuan askar-askar Melayu dari Johor), Syarikat Hindia Timur Inggeris mulai mencari kawasan lain untuk menjadi kawasan atau pusat perdagangannya untuk menyaingi Melaka.
Singapura
Kawasan yang dianggap sesuai ialah Singapura. Pulau ini ialah milik bangsa Melayu atau merupakan tanah takluk kerajaan Johor-Riau, bukan merupakan pulau kosong seperti “Pulau Robinson Crusoe” yang boleh diduduki, dicuri atau dimiliki oleh bangsa lain.
Raffles cepat-cepat mempengaruhi Temenggung Abdul Rahman, waris kerabat diraja Johor yang berada di pulau itu. Abdul Rahman dianugerahi gelaran ‘Temenggong’ oleh kerajaan Johor-Riau dan Singapura diberikan kepadanya sebagai hak warisnya. Raffles mengadakan perjanjian (pada 30 Januari 1819) dengan Temenggung Abdul Rahman, membenarkan Syarikat Hindia Timur Inggeris membina loji atau kilang di Singapura. Sebagai balasannya, SHTI bersetuju memberi semacam sagu hati atau elaun sebanyak ‘3000 rial setahun’ kepada Temenggung.
Pada 6 Februari 1819 suatu perjanjian lain telah ditandatangani antara Raffles bagi pihak SHT dengan Sultan Hussain Muhammad Syah, Sultan Johor-Riau, dan Temenggung Abdul Rahman untuk mengesahkan perjanjian yang terdahulu. Salah satu fasal baru, iaitu Fasal Kelima, yang terkandung dalam Perjanjian baharu itu ialah, Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman tidak dibenarkan membuat apa-apa perjanjian perniagaan dengan mana-mana pihak lain, baik dengan orang putih dari Eropah, baik dari AS, di Singapura selama ‘kompeni Inggeris ada duduk di dalamnya’.
Perjanjian ini juga menetapkan pembahagian hasil negeri: Temenggong mendapat dua bahagian daripada ‘hasil cukai segala perahu kapal orang hitam dan laka oleh kompeni Inggeris membayar segala belanja atas menjaga bendera (iaitu bendera Inggeris) terima hasil cukai itu’.
Melalui Perjanjian itu SHII tidak sahaja diberi hak untuk mendirikan kemudahan perniagaan di pulau Singapura tetapi juga hak menempatkan angkatan tenteranya di pulau itu dan hak untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan Inggeris ke atas penduduk pulau, khususnya di kawasan yang dikuasai oleh syarikat Inggeris itu.
Pada 2 Ogos 1824 pihak Inggeris yang diwakili oleh John Crawford, Residen Singapura, dan Sultan Hussain serta Temenggong Abdul Rahman menandatangani satu perjanjian lagi. Melalui perjanjian ini kedua-dua pembesar Melayu itu bersetuju menyerahkan pulau Singapura ‘dengan laut dan selat dan pulau kecil-kecil iaitu sepuluh batu jauhnya berkeliling Pulau Singapura itu menjadi hak milik kerajaan Kompeni Inggeris sampai kepada warisnya yang akan menggantikan dia selama-lamanya’
Sebagai gantinya, SHT bersetuju membayar kepada Sultan Hussain tiga puluh tiga ribu dua ratus ringgit (33,200 ringgit) sekali bayaran dan pada tiap-tiap bulan seribu tiga ratus ringgit (1,300 ringgit) seumur hidup Sultan itu. Temenggong Abdul Rahman dibayar dua puluh enam ribu delapan ratus ringgit (26,800 ringgit) sekali bayaran dan sebanyak tujuh ratus ringgit (700 ringgit) sebulan seumur hidup. Perjanjian ini juga menyebut bahawa sekiranya Sultan Hussain dan Temenggong atau waris mereka berhajat untuk berpindah dari Singapura dan tinggal di mana-mana tanah lain milik mereka (yakni, di luar pulau Singapura) maka SHT akan membayar sebanyak dua puluh ribu ringgit (20,000 ringgit) lagi kepada Sultan Hussain atau warisnya dan sebanyak lima belas ribu ringgit (15,000 ringgit) lagi kepada Temenggong atau warisnya.
Segala hak milik mereka yang tidak dipindahkan, seperti tanah, rumah, kebun dan segala jenis kayu yang terdapat di pulau Singapura dan di semua pulau takluk Singapura diserahkan kepada SHT sampai kepada warisnya selama-lamanya. Tetapi selama kedua-dua pembesar Melayu itu menerima bayaran bulanan daripada SHT mereka tidak dibenarkan mengadakan apa-apa perjanjian dengan mana-mana bangsa lain tanpa pengetahuan SHT atau warisnya yang akan menggantikannya selama-lamanya.
Abdullah Munsyi, dalam karyanya yang terkenal, Hikayat Abdullah, menceritakan bagaimana Sultan Hussain dan Temenggung terpaksa mengemis meminta wang tambahan daripada Raffles atau dari SHT kerana mereka sentiasa kehabisan wang untuk membiayai perbelanjaan para pengikut mereka yang berfoya-foya di pulau itu, dan sering melakukan pergaduhan dan kekacauan.
Akhirnya mereka ‘dinasihatkan’ oleh Raffles supaya berpindah dari kawasan Melayu di Kampung Gelam ke kawasan tidak maju, jauh dari pusat bandar, iaitu ke Teluk Belanga. Memang itulah rancangan jangka panjang SHT, iaitu untuk mengusir mereka dari Singapura atau untuk meminggirkan mereka daripada ‘proses pembangunan’ yang sedang dilakukan oleh SHT. Abdullah Munsyi menjelaskan bagaimana pembesar Melayu itu tertipu oleh muslihat dan ‘mulut manis’ Raffles memujuk orang Melayu supaya berpindah ke kawasan lain.
Raffles menggunakan wang untuk mempengaruhi pembesar Melayu supaya menyerahkan tanah mereka kepada syarikat asing, iaitu Syarikat East India Company atau Syarikat Hindia Timur Inggeris.
Demikianlah kisah bagaimana tanah milik kerajaan Melayu, milik nenek moyang Melayu, akhirnya dijual atau berpindah milik kepada orang asing melalui sebuah syarikat yang disebut Syarikat East-India Company.
Diharap kisah ini tidak berulang lagi. Tandanya sudah ada dan nampaknya makin hari makin jelas. Bangsa yang pandai, yang cemerlang akal, yang bijak, tidak akan menjual ‘tanah airnya’ kepada kuasa asing melalui pelaburan asing, atau pun melalui diplomasi tolak ansur’.
* DATUK DR. HASSAN AHMAD ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Karyawan.
Sultan Johor, Permaisuri Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Muar
-
MUAR, 18 April (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan
Iskandar hari ini berkenan berangkat menghadiri jamuan teh bersama rakyat
di Datara...
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan