Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

02 Jun 2010

Kerajaan Melayu Melaka Diasaskan Pada Tahun 1262 - Penyelidik

MELAKA, 31 Mei (Bernama) -- Sepasukan penyelidik yang dilantik kerajaan negeri Melaka menemui tarikh baru kerajaan Melayu Melaka diasaskan iaitu pada tahun 1262, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata penemuan tarikh baru itu sekaligus menolak tarikh yang diumumkan sebelum ini iaitu 1278 oleh pasukan penyelidik itu pada bulan lepas.

"Dengan penemuan tarikh baru itu (1262) juga menolak pendapat penulis terdahulu yang menyatakan Melaka diasaskan pada tahun 1400," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) di sini, Isnin.

Pasukan penyelidik dengan sembilan anggota termasuk pakar sejarah dari universiti tempatan, dipengerusikan Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim manakala ketua penyelidik Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.

Mereka diberi tugas membuat kajian dan penyelidikan bagi mengenal pasti tahun penubuhan kerajaan Melayu Melaka sebagai satu entiti politik di alam Melayu dan memulakan penyelidikan pada Jun tahun lepas.

Mohd Ali berkata pasukan penyelidik berkenaan memilih tahun 1262 itu berdasarkan kepada sumber daripada Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu, salah seorang Sultan Johor yang merupakan pemilik naskah tersebut.

"Setakat ini, pasukan penyelidik ini yakin dan muktamad bahawa tarikh kerajaan Melayu Melaka diasaskan ialah pada 1262 tetapi jika ada pihak lain yang menemui tarikh baru sila nyatakan bersama bukti dakwaan mereka," katanya.

Diketahui umum, Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara antara tahun 1400 dan 1403.

Mohd Ali berkata pasukan penyelidik itu menolak tahun 1400 sebagai tahun kerajaan Melayu Melaka diasaskan kerana ia hanya berdasarkan kepada kesepakatan sarjana barat, bukan berdasarkan kepada fakta sejarah.

"Suma Oriental (dunia Timur) yang ditulis oleh Tome Pires pada 1512-1515 hanya berdasarkan pengumpulan maklumat menggunakan kaedah dengar cakap, bukan dokumen bertulis, dan menyatakan bahawa Melaka bermula sebagai satu entiti politik pada 1400," katanya.

Sementara itu, Prof Dr Abdullah Zakaria berkata dalam mencari tarikh kerajaan Melayu Melaka diasaskan, pasukan penyelidik menjalankan penyelidikan dan kerja lapangan di Malaysia dan Indonesia seperti Pulau Bentan, Pulau Penyengat, Pulau Singkep, Pulau Lingga, Palembang, Jambi, Padang dan Batu Sangkar.

Beliau berkata selepas tarikh 1278 diumumkan pada 17 April lepas, pasukannya terus membuat kajian dan penyelidikan sehingga menemui tahun 1262 dan selepas ini tiada lagi kajian.

Seramai 250 peserta dari seluruh negara termasuk pakar sejarah, yang menghadiri seminar berkenaan sebulat suara menerima tarikh baru itu.
-- BERNAMA

Tiada ulasan: