Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

17 September 2012

Fakta Sains di Dalam al-Quran

Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

ASAL-USUL ALAM DARIPADA ASAP?
Di dalam surah Fussilat 41: 11, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Kemudian Dia menuju ke langit dan langit ketika itu berbentuk asap lalu Dia berkata kepadanya dan bumi: ´Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa.´ Keduanya menjawab: ´Kami datang dengan tunduk.´”

Di dalam kitab Al-Asas fit Tafsir, jilid 9, halaman 5010, Said Hawa menyatakan: “Sesungguhnya di sana memang sudah ada suatu keyakinan bahawa sebelum terjadinya bintang-bintang, keadaan adalah di dalam bentuk gas nebula seperti asap. Dan pandangan yang seperti ini boleh dianggap sahih kerana ia begitu hampir dengan hakikat kalimat ´dukhan´ di dalam al-Quran.´

PENCIPTAAN ALAM SEMESTA
Penciptaan alam semesta diterangkan oleh ahli astro-fizik (fizik angkasa) sebagai satu fenomena yang diterima ramai dan dikenali sebagai ´Big Bang.´ Ia disokong oleh data yang diperoleh daripada pemerhatian dan eksperimen oleh ahli astronomi dan ahli astro-fizik sejak berdekad-dekad lamanya. Menurut ´Big Bang´, seluruh alam semesta pada asalnya ialah satu jisim yang besar (Nebula Asas).

Kemudian terjadi ´Big Bang´ (Pemisahan Kedua) yang menghasilkan galaksi-galaksi. Ia kemudiannya berpecah-pecah lagi untuk menjadi bintang, planet, matahari, bulan, dan lain-lain. Asal penciptaan alam semesta ini memang unik dan kemungkinan untuk ia terjadi secara tidak sengaja adalah sifar.

Al-Quran mengandungi ayat berikut, berkenaan asal kejadian alam semesta: “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya?” (surah Al-Anbiyaa´: 30)

Persamaan di antara ayat Al-Quran dengan teori Big Bang tidak dapat dinafikan lagi. Bagaimana sebuah kitab yang muncul di padang pasir Arab 1400 tahun lalu, mengandungi fakta sains begini?

WUJUD JISIM GAS SEBELUM PENCIPTAAN GALAKSI

Ahli sains berkata, sebelum galaksi-galaksi di alam semesta ini dibentuk, yang ada pada mulanya ialah bahan-bahan gas. Dengan kata lain, bahan-bahan atau awan gas yang besar wujud sebelum pembentukan galaksi-galaksi. Untuk menerangkan perkara ini, perkataan ´asap´ adalah lebih sesuai berbanding gas.

Ayat Al-Quran berikut merujuk kepada keadaan alam semesta oleh perkataan ´dhukhan´ yang bermaksud asap: “Kemudian Dia menujukan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: ´Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau paksa!´ Keduanya menjawab: ´Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela.´” (Surah Fussilat: 11)

Lagi sekali, fakta ini juga tidak diketahui oleh orang Arab pada zaman Nabi Muhammad s.wa.w. Justeru, dari mana pula sumber ilmu ini?

BENTUK BUMI BULAT
Pada zaman lampau, manusia percaya bumi ini rata. Sejak berkurun-kurun lamanya, manusia takut untuk belayar terlalu jauh kerana risau mereka akan jatuh di tebing bumi. Sir Francis Drake ialah orang pertama yang membuktikan bumi ini bulat apabila beliau belayar mengelilingi bumi pada tahun 1907.

Lihat maksud petikan ayat al-Quran ini yang membincangkan mengenai pertukaran siang dan malam: “Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah SWT memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti).” (Surah Luqman: 29)

Memasukkan di sini bermakna malam bertukar menjadi siang secara perlahan-lahan dan bertahap-tahap dan begitulah sebaliknya. Kejadian begini hanya boleh berlaku jika bumi ini bulat. Jika ia rata, sudah tentu perubahan malam dan siang berlaku secara mendadak dan bukan perlahan-lahan.

Berikut ialah maksud petikan ayat al-Quran yang juga membayangkan bumi ini bulat: “Dia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan guna yang sebenar; Dia juga menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya).” (Surah Az-Zumar: 5)

Perkataan Arab yang digunakan di sini ialah ´kawwara´ bermakna ´untuk menindihkan´ atau ´melingkari´ - seperti serban yang dilingkarkan mengelilingi kepala. Penindihan dan pelingkaran malam dan siang hanya boleh berlaku jika bumi ini bulat. Bumi ini bukanlah bulat seperti bola, tetapi berbentuk geo-spherical (geo-bulat), iaitu leper di hujung.

Ayat berikut mengandungi keterangan mengenai bentuk bumi: “Dan bumi sesudahkan itu dijadikan berbentuk telur.” (surah An-Naazi´aat: 30)*

(*Perkataan Arab dahaha diterjemahkan oleh Mufti Haji Muhammad Noor Haji Ibrahim sebagai ´dihamparkannya´, yang juga betul. Perkataan dahaha juga bermakna telur burung unta. Lihat ayat ini yang berkaitan dengan sifat cahaya matahari dan bulan: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya....´ (Surah Yunus: 5))

Perkataan Arab untuk telur di sini ialah ´dahaha´ yang bermaksud telur burung unta. Bentuk telur buurng unta menyerupai bentuk bumi yang geo-bulat (geo-spherical). Justeru, Al-Quran menerangkan bentuk bumi dengan tepat, walaupun anggapan umum pada masa Al-Quran diturunkan ialah bumi ini rata.

CAHAYA BULAN ADALAH CAHAYA PANTULAN
Peradaban-peradaban awal manusia percaya bulan menghasilkan cahayanya sendiri. Sains kini memberitahu kita bahawa cahaya bulan ialah cahaya yang dipantulkan. Walau bagaimanapun, fakta ini telah disebut di dalam al-Quran 1400 tahun dahulu di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya lampu dan bulan yang menerangi.” (Surah Al-Furqan: 61)

Perkataan Arab untuk matahari di dalam Al-Quran ialah ´syams´. Ia merujuk kepada ´siraaj´, yang bermaksud api pelita (torch) atau ´wanhaaj ´yang bermakud ´lampu yang menyala´ atau ´diya´ yang bermaksud ´kemegahan yang menyinari.´ Ketiga-tiga keterangan itu memang sesuai untuk matahari memandangkan ia mengeluarkan haba dan cahaya oleh sebab kebakaran dalamannya.

Perkataan Arab untuk bulan pula ialah ´qamar´ dan ia diterangkan di dalam al-Quran sebagai ´muneer´, iaitu sesuatu yang mengeluarkan nur, iaitu cahaya. Sekali lagi, keterangan al-Quran menyamai sifat semula jadi bulan yang tidak menghasilkan cahayanya sendiri dan merupakan benda yang tidak aktif yang hanya memantulkan cahaya matahari. Tidak pernah sekalipun di dalam al-Quran, bulan disebut sebagai ´siraaj´, ´wanhaaj´, atau ´diya´ atau matahari sebagai nur atau ´muneer´.
Ini menunjukkan Al-Quran menyedari perbezaan di antara cahaya matahari dan cahaya bulan.

Lihatlah maksud ayat-ayat firman-Nya ini yang berkaitan dengan cahaya matahari dan bulan:

1. “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya.” (Surah Yunus: 5)

2. “Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat. Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang benderang).” (Surah Nuh: 15-16)

MATAHARI TIDAK BERPUTAR
Sejak sedemikian lama ahli falsafah dan ahli sains Eropah percaya bumi ini berkedudukan tetap di tengah-tengah pusat alam semesta dan semua benda lain beredar mengelilinginya. Di Barat, konsep alam semesta berpusatkan bumi (geocentric) ini berleluasa dari zaman Ptolemy pada kurun kedua Sebelum Masihi lagi.

Pada tahun 1512, Nicholas Copernicus membentangkan teorinya yang dipanggil Heliocentric Theory of Planetary Motion (Teori Heliocentric Mengenai Pergerakan Planet), yang mendakwa matahari itu yang berkedudukan tetap di pusat sistem matahari dengan planet-planet lain beredar mengelilinginya.

Pada tahun 1609, ahli sains Jerman Yohannus Keppler menerbitkan Astronomia Nova. Di dalamnya dia menyimpulkan bahawa planet-planet bukan hanya beredar dalam orbit bujur (elliptical) mengelilingi matahari, mereka juga berputar di paksinya pada kelajuan yang tidak menentu. Dengan pengetahuan ini, ahli-ahli sains Eropah mampu menerangkan secara tepat beberapa corak perjalanan sistem matahari termasuklah kejadian malam dan siang.

Selepas penemuan-penemuan ini, matahari dianggap sebagai berkedudukan tetap dan tidak berputar di paksinya seperti bumi. Penulis masih ingat ketika belajar kesilapan ini dari buku Geografi pada zaman persekolahan penulis. Lihatlah maksud ayat-ayat al-Quran ini:

“Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar *terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Surah Al-Anbiyaa: 33)
(*Mufti Haji Muhaamd Noor Haji Ibrahim menterjemahkan beredar terapung-apung). Sila lihat keterangan ini:

Perkataan Arab yang digunakan di atas ialah ´yasbahun´. Perkataan ´yasbahun´ diambil dari perkataan ´sabaha´. Ia membawa makna pergerakan dari benda-benda yang bergerak. Jika anda menggunakan perkataan itu untuk manusia, ia tidak bermakna orang itu bergolek tetapi ia bermakna orang itu berjalan atau berlari. Jika anda menggunakan perkataan itu untuk manusia di dalam air, ia tidak bermakna orang itu sedang terapung-apung, tetapi bermakna dia sedang berenang.

Begitu juga, jika anda gunakan perkataan ´yasbah´ untuk benda-benda di angkasa raya seperti matahari ia tidak bermakna ia terbang melalui angkasa tetapi ia bermakna berputar sambil bergerak melalui angkasa. Kebanyakan buku teks telah memasukkan hakikat matahari berputar di atas paksinya.

Putaran matahari di paksinya boleh dibuktikan dengan bantuan peralatan yang boleh mengimbas imej matahari ke atas meja supaya seseorang itu boleh mengkaji imej matahari tanpa menjadi buta. Kita boleh perhatikan matahari menyempurnakan putarannya setiap 25 hari, yakni matahari mengambil masa 25 hari untuk berputar di paksinya.

Sebenarnya, matahari bergerak melalui angkasa pada kelajuan lebih kurang 150 batu sesaat, dan mengambil masa 200 juta tahun untuk menyempurnakan satu pusingan mengelilingi pusat galaksi kita iaitu Galaksi Bima Sakti.

“Dengan ketentuan yang demikian, matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.” (Surah Yaa Siin: 40)

Ayat ini memberitahu fakta penting yang ditemui oleh astronomi moden, iaitu wujudnya orbit tersendiri untuk matahari dan bulan, dan mereka beredar melalui angkasa dengan pergerakannya sendiri. ´Tempat tetap´, di mana matahari bergerak menuju ke arahnya dan membawa bersamanya sistem matahari telah dikenal pasti tempatnya oleh astronomi moden. Ia digelar Solar Apex. Sistem matahari sesungguhnya bergerak di angkasa ke arah satu tempat di ´constellation of Hercules ´(alpha layer) yang telah dikenalpasti dengan sahih di mana letaknya.

Bulan berputar di paksinya dalam tempoh yang sama diambilnya untuk mengelilingi bumi. Ia mengambil masa 29 1/2 hari untuk menyempurnakan satu pusingan. Seseorang itu tentunya terkejut dengan ketepatan saintifik yang ditunjukkan dalam ayat-ayat al-Quran. Justeru, tidak perlukah kita fikirkan: Apakah sumber ilmu-ilmu yang terkandung di dalam al-Quran ini?´

MATAHARI AKAN PADAM SELEPAS TEMPOH TERTENTU
Cahaya matahari dihasilkan oleh proses kimia di permukaannya yang telah berlaku sejak lima billion tahun dahulu. Ia akan padam pada suatu masa nanti apabila matahari kelenyapan bahan api yang akan membawa kepupusan kehidupan di bumi ini. Ayat al-Quran menyebut mengenai perkara ini: ´Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yaa Siin: 38)

(Mesej yang sama difirmankan oleh Allah s.w.t sebagaimana terkandung di dalam al-Quran menerusi ayat-ayat 13: 2, 35: 13, 39: 5 and 39: 21)

Perkataan Arab yang digunakan di sini ialah ´mustaqarr´, yang bermakna tempat atau masa yang telah ditentukan. Justeru, al-Quran menyatakan matahari bergerak menuju ke satu tempat yang ditetapkan dan perkara itu akan berterusan sehingga ke satu tempoh yang telah ditetapkan - bermakna ia akan padam atau tamat.

KEWUJUDAN BAHAN DI RUANG ANGKASA
Ruang di luar sistem astronomi yang tersusun dikatakan tidak mempunyai apa-apa bahan dan vakum sahaja. Ahli astro-fizik kemudiannya menemui kewujudan bahan-bahan yang dipanggil plasma dan ianya terdiri daripada gas yang diionkan sepenuhnya dan mengandungi jumlah elektron bebas dan ion positif yang sama. Ia juga kadang-kadang dipanggil keadaan bahan yang keempat (selain daripada tiga keadaan yang diketahui- pepejal, cecair, dan gas).

Al-Quran menyebut kewujudan bahan ini dalam ayat: “Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya.” (Surah Al-Furqaan: 59)

Amat tidak logik sekali untuk sesiapa pun membayangkan kewujudan bahan di antara galaksi telah diketahui 1400 tahun dahulu.

ALAM SEMESTA YANG SENTIASA MENGEMBANG
Pada tahun 1925, ahli astronomi Amerika yang bernama Edwin Hubble, membentangkan bukti hasil kajiannya bahawa semua galaksi semakin menjauhi antara satu sama lain, yang membayangkan alam semesta ini sedang mengembang. Pengembangan alam semesta kini diiktiraf sebagai fakta sains.

Inilah yang al-Quran katakan mengenai sifat alam semesta ini: “Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi) Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.” (Surah Dzaariyaat: 47)

Perkataan Arab ´musi´u´n diterjemahkan dengan betul kepada ´mengembangkannya´, dan ia merujuk kepada penciptaan alam semesta yang amat besar dan sedang mengembang.

Stephen Hawking, dalam bukunya, A Brief History of Time, berkata, ´Penemuan bahawa alam semesta ini sedang mengembang merupakan salah satu dari revolusi intelek yang amat hebat di kurun ke 21.´

Al-Quran menyebut mengenai pengembangan alam semesta, sebelum manusia belajar membuat teleskop. Ada yang berkata fakta-fakta astronomi di dalam al-Quran tidaklah mengejutkan kerana orang Arab memang mahir di bidang astronomi. Mereka memang betul bila berkata orang Arab mahir di bidang astronomi.

Bagaimanapun mereka gagal menyedari bahawa al-Quran diturunkan sebelum orang Arab menjuarai bidang astronomi. Selain daripada itu, kebanyakan fakta-fakta saintifik yang disebut di atas mengenai astronomi, seperti asal usul alam semesta dari Big Bang, tidak diketahui oleh orang Arab walaupun sehingga zaman kegemilangan sains mereka.

Oleh hal yang demikian itu, fakta saintifik di dalam Al-Quran bukan disebabkan oleh keunggulan orang Arab di bidang astronomi. Malahan, yang sebaliknya betul. Orang Arab menjuarai astronomi kerana astronomi disebut di dalam al-Quran.

GAS HIDROGEN DAN HELIUM DAN PERMULAAN LANGIT DAN BUMI

Salah satu kajian dalam bidang ilmu astrofizik ialah tentang keadaan alam selepas berlakunya Big Bang. Kajian menunjukkan bahawa pengembangan berlaku di dalam keadaan suhu yang tinggi diikuti dengan penyejukan. Di peringkat awal itu, proton telah bercantum dengan neutron dan melahirkan gas deuterium (hidrogen berat atau heavy hydrogen) di samping gas-gas ringan yang lain, terutamanya helium, dan sedikit daripada lithium, berylium dan boron. Ini disebutkan juga sebagai ´primary nebula´.

Akhirnya, dalam jangka masa yang singkat, angkasa raya ketika itu didominasi oleh gas hidrogen dan helium. Selepas lebih kurang sejuta tahun, gas di angkasa membeku dan kemudiannya bercantum mengikut proses-proses tertentu untuk menjadi galaksi, bintang-bintang dan bumi. Penemuan ini adalah selari dengan pernyataan al-Quran.

PERMULAAN ALAM MENURUT AL-QURAN DAN SAINS
Dalam surah Al-Anbiya ayat 21: 30, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya adalah bercantum sebagai satu, kemudian Kami pisahkan keduanya…”

Di dalam Al Jamik li Ahkamil Quran Jilid 5 halaman 4323, Imam Qartubi telah meriwayatkan perkataan-perkataan Ibn Abbas, Al-Hasan, ´Atha, Ad-Dahhak dan Qatadah: “Ia bermaksud bahawa kedua langit dan bumi pada asalnya adalah satu yang melekat lagi bercantum, kemudian Allah s.w.t pisahkan di antara kedua-duanya dan dijadikan di antara kedua-duanya udara.”

Di dalam Al-Asas fit Tafsir Jilid 7 halaman 3454, Said Hawa telah mendatangkan riwayat dari Ibn Kathir tentang pandangan Said bin Jubair berhubung dengan ayat ini: “Bahkan… sebelum ini langit dan bumi melekat dan bercantum di antara satu dengan yang lainnya. Ketika Allah s.w.t meninggikan langit maka menonjollah bumi. Demikianlah maksud Allah s.w.t memisahkan di antara kedua-duanya.”

Syeikh Tantawi Jauhari dalam kitabnya yang terkenal Al-Jawahi´ yang ditulisnya sekitar tahun 1920-1930, telah menyebutkan: “Apa yang telah dijelaskan oleh al-Quran dahulu ialah bahawa langit alam yang ada di dalamnya, adalah semua bercantum lalu Allah s.w.t pisahkan semuanya. Di sini kita tegaskan bahawa ini adalah mukjizat, kerana ilmu ini belum diketahui kecuali pada zaman sekarang.”

Berpandukan ayat ini, tafsiran yang muktabar menerima hakikat bahawa alam ini pada suatu ketika dahulu adalah bercantum sebelum dipisahkan mengikut yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

TEORI ´BIG BANG´
Satu teori yang telah diterima umum tentang asal kejadian alam ialah teori Big Bang. Ia mengatakan bahawa alam ini pada asalnya adalah bercantum, kemudiannya berlakulah satu letupan yang kuat (cosmic explosion) 10 ke 20 billion tahun dahulu, yang dinamakan sebagai Big Bang. Bermula dari situ berlakulah pengembangan dan penyejukan (expanding and cooling) yang melahirkan bintang-bintang, galaksi dan yang seumpamanya

Teori ini pada asalnya diasaskan dari formula General Theory of Relativity yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun 1915. Kemudian pada tahun 1922 seorang pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann, telah mengembangkan lagi formula ini dan mengukuhkan lagi teori Big Bang ini.

Pada tahun 1929, tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, telah menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori Big Bang. Dengan menggunakan alat yang canggih, beliau telah mendapati bahawa alam ini sedang berkembang sekali gus mengukuhkan pendapat bahawa alam ini bercantum padu pada asalnya dan letupan besar telah berlaku yang menyebabkan pengembangan itu.

Penyelidikan berhubung dengan tahap radiasi dan tentang gas helium yang tersebar secara seimbang di angkasa, adalah selari dengan teori Big Bang. Kajian tentang tahap radiasi di angkasa raya telah dilakukan oleh pakar astrofizik dari Amerika, Arno Penzias and Robert Wilson, pada tahun 1965.

Kajian tambahan yang dilakukan di antara tahun 1989 hingga 1993, dengan menggunakan alat pengesan khas NASA yang dikenali sebagai ´COBE Spacecraft,´ juga telah mengesahkan tentang perkara ini.

Pada hari ini dengan alat dan prasarana yang lebih canggih, seperti makmal CERN yang terletak berhampiran dengan Geneva, banyak kajian baru yang dapat dilakukan. Kajian-kajian terkini dari makmal ini telah mengukuhkan lagi teori Big Bang.

Pada tahun 1928, Thomas Gold dan Hermann Bondi telah mengutarakan satu teori yang berlawanan dengan Big Bang, iaitu, Teori ´Steady State´ yang mengatakan bahawa alam ini tidak ada permulaan, malah berkeadaan sama sejak dahulu hinggalah sekarang. Pada tahun 1964, dengan penemuan gelombang-gelombang tertentu di udara yang mengesahkan tentang kewujudan Big Bang, teori ini terus ditolak.

Semua ini mengesahkan bahawa langit dan bumi pada suatu ketika dahulu adalah bercantum padu, kemudiannya dipisahkan. Kesemuanya telah disebutkan oleh al-Quran.
* Dipetik dari Laman web Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Tiada ulasan: