Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

23 November 2012

Merenung krisis ekonomi

Oleh: DR. RAMLAH ADAM

APABILA berlaku kejatuhan nilai ringgit dan kemelesetan ekonomi negara, saya teringat sebuah episod sejarah Malaysia pada tahun 1930-1931. Di tahun-tahun tersebut, negara ini yang terletak di bawah penjajahan British, mengalami kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga getah, bahan eksport utama negara ke tahap paling rendah.

Ia berlaku setelah perusahaan itu mengalami satu tempoh kegemilangan yang paling memuaskan sejak tahun 1905. Tanah Melayu telah menjadi pembekal utama dunia dan dengan itu lebih banyak kawasan hutan dibuka oleh pelabur-pelabur Barat dan Cina untuk tujuan tersebut.

Namun, apabila kawasan-kawasan lain di Borneo dan Indonesia dibuka, pertandingan mula berlaku dan harga getah mula menurun sehingga menyebabkan kemelesetan pada 1920-21. Kemelesetan 1930-31 adalah kemelesetan yang kedua, yang lebih teruk lagi.

Walaupun, kemelesetan ekonomi kerana kejatuhan harga getah itu telah berlalu dan berbeza dari sebab kegawatan ekonomi sekarang, namun prinsipnya tetap sama. Ia tetap merupakan satu masalah kepada negara, terutama kepada orang ramai yang berpendapatan rendah dan miskin.

Ia tetap meninggalkan keperitan kepada rakyat jelata yang hidup 'kais pagi makan pagi' atau golongan sederhana yang bergantung kepada gaji atau perniagaan kecil di tepi-tepi jalan. Ia memang juga memberi kesan kepada ahli-ahli perniagaan besar, ahli korporat dan saudagar serta orang kaya, tetapi aset mereka tetap ada untuk menjadi payung menghadapi kemelut ekonomi ini.

Untuk itu, adalah cukup menarik untuk kita menginsafi keadaan ini dengan melihat sejauh mana kesusahan dan kesan kemelesetan ekonomi kepada rakyat jelata pada tahun 1930-31. Ini untuk menjadi iktibar dalam menghadapi kemelesetan ekonomi hari ini. Ia juga boleh menjadi pendorong untuk kita menghadapi kegawatan ekonomi negara dengan lebih sabar dan bijaksana.

Kebanyakan penduduk kampung pada masa itu tidak dibenarkan membuka ladang besar. British telah membuat undang-undang mengenainya; penduduk kampung hanya boleh membuka kebun kecil yang kurang dari seratus ekar.

Sebuah skim yang dikenal sebagai Stevenntion Scheme telah diperkenalkan pada awal 1920-an bagi menentukan kuota keluaran pekebun kecil demi untuk melindungi ladang-ladang besar milik pelabur Eropah dan Cina. Ini tentunya memberi kesan kepada pekebun-pekebun kecil.

Oleh itu, di dalam akhbar-akhbar, penderitaan pekebun-pekebun kecil sentiasa diluahkan oleh penulis-penulis yang berjiwa kebangsaan dan prihatin terhadap kemiskinan orang kampung. Warta Malaya, akhbar yang berpusat di Singapura, pimpinan Syed Husein Alsagop dan pengarangnya, Onn bin Jaafar, telah memberi perhatian yang lebih dalam hal tersebut. Dengan membaca akhbar ini, kita dapat lihat bagaimana kesan kemelesetan ekonomi itu kepada orang Melayu dan pekebun kecil lain, serta langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan negeri dan British bagi mengatasi kejatuhan harga getah itu.

Salah satu kesan yang nyata daripada kemelesetan ekonomi itu ialah kemiskinan yang berterusan kepada penduduk kampung (orang Melayu). Tanah-tanah pekebun-pekebun kecil Melayu tergadai ke tangan ceti-ceti, akibat daripada kegagalan mereka membayar hutang piutang kerana kurangnya punca pendapatan akibat kejatuhan harga getah. Mereka juga kehilangan tanah kerana gagal membayar cukai-cukai tanah akibat daripada kemelesetan ekonomi. Ramai juga yang terpaksa menjual tanah-tanah mereka, termasuk tapak rumah kerana kesusahan hidup.

''Di manapun di dalam Semenanjung ini telah terdengar berita-berita kesusahan orang-orang kampung - di Kota Tinggi hal ini diberitahu dengan surat layang. Menurut Undang-Undang Tanah Johor 1910, Bab 7, seorang pemungut hasil negeri boleh mengeluarkan surat perintah merampas sebarang harta yang dipunyai oleh sebarang pemiutang dan boleh menjualnya secara lelong sahaja.

Banyak juga orang kampung yang mempunyai jalor dan sampan boleh pergi ke laut, tetapi selain dari itu apa yang boleh mereka buat? Pegawai-pegawai kerajaan itu tiap-tiap bulan tetap menerima gaji daripada hasil kerajaan yang dipungut daripada orang kampung supaya membayar cukainya. Tidakkah pegawai-pegawai kerajaan itu kebulur pula? Ternyata permasalahan mereka cukup berat. Seperti juga hari ini, golongan yang berpendapatan kecil merasakan pukulan yang amat hebat dengan kejatuhan nilai ringgit.

Mereka terpaksa membayar harga makanan dan keperluan hidup hampir berkali ganda kerana kenaikan barang yang tidak dapat dikawal dengan berkesan. Ramai juga yang kehilangan pekerjaan terutama di sektor swasta kerana dasar menjimatkan kos oleh kilang-kilang terutama yang menjalankan perniagaan berteraskan barangan import atau bergantung kepada barang import untuk pengeluaran kilang.

Seperti juga pada tahun 1930-an, mereka yang makan gaji, kurang merasa tekanan itu, walaupun ada potongan gaji dan elaun dibuat, mereka masih mendapat gaji untuk menampung kehidupan dengan selesa kerana berpendapatan tetap.

Memang berbagai langkah dibuat oleh kerajaan Malaysia untuk mengatasi kemelut ekonomi negara. Perbelanjaan kerajaan untuk pengurusan dan pentadbiran dikurangkan, peruntukan badan-badan kerajaan juga dipotong, rakyat diseru berjimat cermat dan kurangkan perbelanjaan tidak perlu dan mewah seperti melancong keluar negeri dan sebagainya. Sokongan rakyat sentiasa diminta bagi melaksanakan langkah-langkah tersebut. Sokongan rakyat kepada pucuk pimpinan dan negara menjadi begitu penting seperti dalam setiap kali pilihan raya diadakan.

Berbanding dengan 1930-1931, orang kampung dan pekebun kecil tidaklah diminta sokongannya. Malah, mereka terbiar dan terkapai-kapai mencari hala hidup sendiri. Nasib mereka tidak dilindungi atau dibela secara bersungguh-sungguh oleh mana-mana pihak. Ini tidak menghairankan kerana kita diperintah oleh penjajah British. Oleh itu menjadi tanggungjawab reformis Melayu (wartawan, guru-guru dan penulis-penulis bebas) membangkitkan hal ini.

Satu gesaan untuk membuat undang-undang bagi mengelakkan keadaan ini dibuat oleh akhbar ini. Sultan Perak dikatakan telah memerintahkan penghulu-penghulu supaya menyenaraikan tanah-tanah yang tergadai untuk diambil tindakan. Hal yang sama juga cuba dibuat di Negeri Sembilan. Di Johor pula, walaupun ada aduan-aduan dan permintaan untuk menyelamatkan tanah-tanah pekebun kecil, tetapi tidak dihiraukan, mereka kehilangan tanah dan terpaksa makan gaji dengan ceti di atas tanah mereka sendiri. Warta Malaya menyeru supaya 'Raja-Raja Melayu dapat menjalankan ikhtiar yang halus bagi menyelamatkan orang Melayu yang sangat setia kepada mereka ' (Warta Malaya, 15 Mac 1930).

Namun, orang kampung terus kehilangan tanah dan hidup dalam kemiskinan. Pekebun-pekebun kecil tertekan lagi apabila diadakan sekatan keluaran getah. Mereka tidak dibenarkan mengeluarkan getah kelas rendah; yang hanya dieksport ialah getah kelas satu; yang dimaksudkan kelas satu ialah getah yang tidak berabuk, kering dan disalai dengan baik. Ini tidak mampu dibuat oleh pekebun kecil yang kekurangan modal. Ini dibantah oleh seorang pekebun kecil Cina dari Selangor yang melihat tindakan itu akan merumitkan mereka.

British juga membuat undang-undang supaya pekebun-pekebun kecil mengurangkan aktiviti menoreh getah kepada dua hari seminggu sahaja. Apabila keadaan semakin gawat, British telah mengharamkan pekebun-pekebun kecil daripada menoreh pada bulan Mei dan beberapa bulan seterusnya.

Ini bagi memberi peluang kepada ladang-ladang besar mengeluarkan hasil yang terbaik kerana penawaran getah Tanah Melayu telah melebihi permintaan. Ternyata, dalam sistem ekonomi bebas, mereka yang mempunyai modal terbesar sentiasa dapat mempengaruhi dasar kerajaan demi untuk menjaga kepentingan pelaburan dan perniagaan mereka. Kerajaan menyokong kumpulan ini demi untuk mendapatkan cukai bagi perbendaharaan penjajah. Pekebun kecil dan orang kampung terbiar tanpa perlindungan.

Cerita dan nasib masyarakat kampung pada tahun 1930-1931 sudah berlalu, namun, ia tetap relevan apabila melihat keperitan hidup yang semakin dirasakan oleh mereka yang berpendapatan kecil, dibuang kerja atau bergantung hidup kepada perniagaan di gerai-gerai. Mereka tidak dapat menggadaikan tanah kerana tidak ada tanah yang hendak digadai, dijual ataupun disewakan kerana kebanyakannya tinggal di rumah panjang, rumah setinggan, rumah pangsa atau di rumah sewa. Mereka juga tidak dapat balik bercucuk tanam di kampung kerana tanah sawah telah menjadi taman perumahan dan tanah pusaka telah menjadi terlalu kecil kerana dibahagi diantara waris. Profesion pertanian pula telah ditinggalkan terlalu lama kerana mengejar peluang pekerjaan yang banyak di kilang-kilang. Akar umbi ke kampungan mereka telah tercabut kerana pemodenan negara. Kemana harus mereka mengadu jika ekonomi negara tidak dapat dipulihkan?

Inilah dilema rakyat berpendapatan kecil, terutama dengan kenaikan harga barangan keperluan harian yang tidak dapat disekat oleh sesiapa pun. Para peniaga dan pedagang seperti biasa sentiasa dapat membuat keuntungan, walaupun sedikit. Rakyat jelata sama ada pada tahun 1930 atau pun 1998, tetap sama nasibnya. Mereka tetap terjerat kerana kemelesetan ekonomi negara.

(Utusan Malaysia, 14 Mac 1998)

Tiada ulasan: